Cikgu Din yang diuji masalah kesihatan isteri diberikan cuti - KPM

Bernama
Oktober 24, 2024 09:55 MYT
KPM mendoakan kesembuhan isteri Cikgu Din dan akan memastikan kebajikan dia dan keluarga terpelihara.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan tindakan segera bagi memberi bantuan terhadap seorang guru yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya seperti tular di media sosial.
Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan, guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama isterinya.
"KPM prihatin mengenai situasi seorang guru yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya.
"Tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil. Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya," menurut kenyataan itu.
Menurut KPM, satu pertemuan dengan guru berkenaan akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikan dan lain-lain perkara.
"KPM mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan dia dan keluarga terpelihara," menurut kenyataan itu.
Tular di media sosial mengenai kisah guru dikenali Cikgu Din diuji dengan masalah kesihatan isterinya yang disahkan menghidap kanser.
Berdasarkan hantaran di akaun Harima Abd Rahman, Cikgu Din didakwa telah memohon pertukaran di Semanjung untuk bersama isterinya namun permohonan tersebut ditolak. - BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #guru diuji #Cikgu Din #masalah kesihatan
;