Cikgu Din dibenar pindah sementara ke Kelantan, jaga isteri sakit kanser - Fadhlina

Astro Awani
Oktober 26, 2024 12:45 MYT
Fadhlina berkata, arahan itu dibuat selepas perbincangan berhubung isu itu diadakan bersama KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan JPN Kelantan. - Gambar fail
SUNGAI BAKAP: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan arahan penempatan sementara buat guru, Izzuddin Izhar atau dikenali sebagai Cikgu Din, dari Sarawak ke Kelantan supaya dia dapat menjaga isterinya yang menghidap kanser tahap empat.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan penempatan sementara bagi Cikgu Din dari Sarawak ke Kelantan untuk membolehkan beliau menjaga isterinya yang menghidap kanser tahap empat.
  • Cikgu Din diberikan cuti sementara dan ditempatkan di sekolah berdekatan isterinya bagi membantu beliau mengimbangi tugas dan kebajikan keluarga, memandangkan beliau juga menghadapi masalah kesihatan mental.
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan bahawa KPM bertindak hanya selepas kisah itu tular di media sosial dan menjelaskan bahawa KPM sudah lama berusaha mencari jalan penyelesaian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, arahan itu dibuat selepas perbincangan berhubung isu itu diadakan bersama KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan JPN Kelantan.
Fadhlina berkata, Cikgu Din akan ditempatkan di sekolah berhampiran dengan isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, supaya dia dapat melaksanakan tugasan dan pada masa sama bersama dengan isterinya.
Buat masa ini, Cikgu Din telah diberikan cuti untuk berada bersama isterinya dan tindakan selanjutnya akan diambil selepas ini.
"Pertamanya kita rakamkan ucapan simpati dengan keadaan yang berlaku pada Cikgu Din dan kita akan uruskan kebajikan beliau dengan sebaik-baiknya.
"Insya-Allah kita akan bagi ruang untuk dia bersama dengan isterinya melalui arahan sementara penempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pada Sabtu.
Sebelum ini seorang pengguna media sosial, Harima Abd Rahman mendedahkan Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM atas atas dasar tempoh perkhidmatannya yang belum mencecah tiga tahun.
Permohonan itu dibuat kerana cikgu berkenaan mahu berada di samping isterinya yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital di Kelantan.
Difahamkan beliau ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak, berulang-alik setiap dua minggu untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.
Tekanan yang dihadapi dikatakan menyebabkan Cikgu Din kemudian disahkan menghidap masalah mental atau major depressive disorder (MDD) yang menyaksikannya turut perlu menerima rawatan.
Sementara itu, Fadhlina menafikan dakwaan kononnya tindakan hanya diambil KPM selepas kisah guru berkenaan ditularkan di media sosial.
Beliau sebaliknya berkata, KPM sentiasa prihatin dan mengambil tindakan berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada.
"Tak betul (tindakan diambil hanya selepas tular), saya ingat proses perbincangan dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif pada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.
"Tapi saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana perhatian itu telah pun sampai dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan cikgu. Jadi saya ucapkan terima kasih dan sama-sama kita doakan kesembuhan pada isteri beliau," katanya.
#Cikgu Din #Tular #isteri sakit kanser #Fadhlina Sidek
;