Cikgu Chung tak kumpul sampah di rumah lagi, kini diberi tugas di pusat kitar semula

Abd Razak Mohd Ali
November 26, 2020 16:41 MYT
Kisah Cikgu Chung pernah tular Oktober lalu kerana rumahnya sebelum ini dipenuhi sampah yang dikutipnya. -Gambar fail/ Bernama
IPOH: Pesara guru yang pernah tular di media sosial kerana hidup dalam timbunan sampah di rumahnya di Taman Bersatu, Ipoh, Perak tidak lagi mengumpul sampah di rumahnya.
Sebaliknya, Chung Sook Khuan, 63, diberi tempat khas di dua buah pusat kitar semula yang berhampiran dengan rumahnya.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh sentiasa memantau bagi memastikan bekas guru itu tidak lagi mengumpul sampah di rumahnya.
"Dia masih lagi meneruskan aktiviti dia, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) memang ada beri kaunseling dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
"Kita juga sudah pesan kepada beliau... dia boleh buat macam biasa, kutip sampah... tapi sekarang jangan bawa balik ke rumah, bawa ke pusat kitar semula itu.
"Itu (kutip sampah) sudah jadi tabiat dia, tak boleh buang. Dia akan tetap begitu, jadi kita bantu dengan beri tempat di pusat kitar semula," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kisah Cikgu Chung pernah tular di media sosial Oktober lalu kerana rumahnya, termasuk di bahagian dalam, dipenuhi sampah yang dikutipnya dan dibawa pulang hampir setiap hari.
Ujian saringan kesihatan mental (DASS) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kinta terhadapnya kemudian mengesahkan mengesahkan dia sihat dan tidak mengalami tekanan.
#cikgu chung #sampah #Tular #timbunan sampah #rumah dipenuhi sampah #Ipoh #Dr Wan Norashikin Wan Noordin
;