Cik Din fasih cakap bahasa Tamil, seru generasi kini belajar pelbagai bahasa
Bernama
September 12, 2023 10:15 MYT
September 12, 2023 10:15 MYT
IPOH: Setiap kali bertemu dengan rakan berbangsa India, Tajuddin Mohd Sharif, 70, cukup teruja kerana dapat berbual menggunakan bahasa Tamil tanpa rasa kekok.
Mesra disapa "Cik Din", pesara kerajaan yang tinggal di Tanjung Rambutan itu berminat untuk mempelajari bahasa Tamil sejak di bangku sekolah apabila sering bergaul dengan rakan-rakannya dalam kalangan kaum India.
"Seawal usia sembilan tahun saya mula 'mendekati' bahasa Tamil .... Apabila ramai kawan India, saya pun ada rasa minat untuk bercakap dan membaca bahasa itu, tetapi untuk permulaan hanya tahu perkataan mudah seperti nombor satu hingga tiga, dan perkataan asas yang lain," katanya.
Bercakap kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini, bekas posmen itu berkata, beliau tidak pernah memasuki mana-mana kelas bahasa Tamil kerana hanya mempelajarinya menerusi interaksi bersama rakan-rakan kaum India.
Tajuddin berkata, setelah meningkat dewasa, beliau tidak mensia-siakan kemahiran itu apabila turut berkomunikasi dengan bahasa Tamil ketika bekerja dan bersukan, malah ada rakan lain yang meminta beliau mengajar bahasa yang digunakan oleh masyarakat India itu.
"Sehingga hari ini pun saya masih menggunakan bahasa Tamil dalam komunikasi terutama dengan orang India, di pejabat suatu masa dahulu pun saya cakap Tamil juga sampaikan pengarah (jabatan beliau) pernah minta saya ajar.
"Apabila ada rasa nak belajar, itulah permulaannya tetapi kadangkala ada yang belajar sekerat jalan sahaja ... bergantung kepada tahap keinginan masing-masing kerana ada juga yang benar-benar ingin belajar," katanya.
Bapa kepada empat anak berusia antara 32 hingga 38 tahun itu berkata beliau turut cuba mengajar anak-anaknya itu berbahasa Tamil ketika mereka di bangku sekolah.
Tajuddin berkata inisiatif individu bukan kaum India mempelajari bahasa Tamil merupakan satu usaha yang baik kerana negara memiliki masyarakat majmuk, selain secara tidak langsung menonjolkan semangat muhibah dalam kehidupan seharian.
"Pada saya, sepatutnya budak-budak muda belajarlah bahasa selain bahasa ibunda supaya kita lebih mudah untuk bertutur dengan sesiapa pun pada masa hadapan. Kalau kita tak belajar bahasa kedua, ketiga kita akan rugi kerana hanya tahu satu bahasa," katanya.
Sementara itu, sahabatnya, S. Mohana Kumar, 67, berkata beliau agak terkejut dengan kemahiran Tajuddin berbahasa Tamil ketika mereka mula-mula mengenali satu sama lain kira-kira 20 tahun dahulu.
"Dia kenal dengan semua keluarga saya sebab dulu dia (Tajuddin) kerja di Kuala Kubu Bharu, Selangor (tempat asal Mohana Kumar sebelum berpindah ke Perak) dan apabila bersembang dengan dia pada mulanya bahasa Melayu, tetapi saya terkejut sebab dia boleh fasih berbahasa Tamil," katanya.
Mohana Kumar juga berkongsi pandangan sama dengan Tajuddin berkenaan pentingnya untuk mempelajari bahasa selain bahasa ibunda bagi memperhebat percakapan dengan kaum lain berteraskan semangat perpaduan.
Beliau yang juga pesara kerajaan dan bapa kepada tiga anak berusia antara 31 hingga 35 tahun berkata bahasa kebangsaan tetap menjadi keutamaan sebagai warganegara, tetapi rugi jika masyarakatnya tidak menjadikan bahasa lain sebagai nilai tambah.
"Baguslah kalau seseorang itu boleh berbahasa selain bahasa ibunda, kebangsaan sebab negara kita pun masyarakat majmuk dan ada semangat muhibah. Saya tengok (di laman sosial) sekarang pun ada sahaja budak Melayu dah pandai nyanyi lagu Tamil, itu juga sangat bagus," katanya. - BERNAMA