CIDB Pulau Pinang arah tutup tapak pembinaan tidak patuh SOP

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 8, 2021 18:31 MYT
Dalam operasi itu, seramai 40 pekerja binaan warga asing ditahan untuk pemeriksaan. - Foto Astro AWANI
KEPALA BATAS: Kerja pengubahsuaian hotel di sebuah tapak binaan di Persiaran Bertam, Kepala Batas Pulau Pinang dihentikan sementara selepas kontraktor utama gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Notis pemberhentian kerja selama empat hari mulai hari ini dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang hari ini.
Pengarah CIDB Negeri, Zahidi Hashim berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati kontraktor utama turut gagal mengemukakan dokumen dan permit berkaitan pembinaan rumah kongsi di dalam tapak pengubahsuaian hotel terbabit.
Selain itu mereka juga didapati gagal menunjukkan keputusan ujian saringan COVID-19 yang dijalankan terhadap pekerja warga asing tersebut.
"Dari aspek kepatuhan, pihak kontraktor utama gagal dari sudut SOP yang ditetapkan MKN, dan pihak kami telah keluarkan notis berhenti kerja, meminta kontraktor tunjuKkan maklumat yang diperlukan.
"Maka dalam tempoh masa itu mereka tidak dibenarkan buat apa-apa aktiviti di tapak pembinaan ini," katanya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, semasa pemeriksaan di bilik kongsi itu juga pihaknya mendapati ruang yang menempatkan pekerja asing itu tidak selamat dari segi pengudaraan dan persekitaran.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Ops Khas Pemantauan SOP bersama beberapa agensi penguatkuasaan yang lain di Kepala Batas pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, (SPU) , Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi itu, seramai 40 pekerja binaan warga asing ditahan untuk pemeriksaan.
Daripada jumlah itu, 11 orang pekerja didapati tidak mempunyai permit kerja yang sah dan mereka diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Noorzainy berkata jumlah keseluruhan pekerja asing di itu dianggarkan melebihi 100 orang namun kira-kira 60 daripada mereka berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan.
#SOP #hotel #Seberang Perai #ujian saringan #COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara #cidb #pekerja asing
;