CIDB gesa sektor pembinaan fokus kepada kaedah lestari

Bernama
Oktober 23, 2024 05:15 MYT
Alexander (tengah) meluangkan masa melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2024 dan BuildXpo 2024 di MITEC pada Rabu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan telah digesa untuk memberi tumpuan kepada kaedah mampan, reka bentuk cekap tenaga dan penggunaan bahan hijau untuk memastikan industri berkembang maju dari segi ekonomi dan menyumbang secara positif kepada alam sekitar serta masyarakat.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Malaysia Yusuf Abd Wahab berkata industri pembinaan seharusnya kekal seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kerana ia penting untuk masa depan.
Kemampanan dan keterangkuman adalah teras kepada misi Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW), katanya.
"ICW juga akan menganjurkan Seminar Pengurusan Fasiliti untuk mengoptimumkan operasi bangunan dan meningkatkan kemampanan, memastikan industri kami kekal di barisan hadapan dalam inovasi dan tanggungjawab alam sekitar.
"Masa depan pembinaan sedang dibentuk di sini dan penyertaan anda adalah penting untuk transformasi ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian ICW serta Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2024, pada Rabu.
Acara itu telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut hadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Yusuf berkata industri pembinaan berada di ambang transformasi mendalam, didorong oleh peningkatan integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan robotik.
Teknologi berkenaan bukan lagi konsep futuristik kerana mereka membentuk semula semuanya daripada reka bentuk projek kepada pengurusan di tapak, membolehkan proses pembinaan lebih pantas, selamat dan lebih cekap, katanya.
"ICW berperanan sebagai platform sempurna untuk mempamerkan inovasi ini, menunjukkan bagaimana teknologi merevolusikan sektor ini," katanya.
Salah satu acara utama ICW dan BuildXpo 2024 adalah Program Penyumberan Antarabangsa anjuran bersama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pada acara itu pembeli dari pelbagai negara dijemput untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan daripada peserta pameran yang mengambil bahagian dalam pameran itu.
"Tahun ini kami mengalu-alukan pembeli dari Thailand, Vietnam, Timor Leste, China, Australia dan Qatar. Selain itu, pembeli dari Mesir, Itali, Poland dan Mexico akan menyertai misi pembelian secara maya," katanya.
Dihoskan oleh CIDB dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, pameran BuildXpo 2024 berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober 2024.
Bertemakan 'Envisioning the Future of Construction', BuildXpo 2024 mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang komprehensif, merangkumi teknologi pembinaan, jentera dan perisian kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS), penyelesaian bangunan pintar dan teknologi automasi.
Menampilkan 500 gerai, pameran ini berkeluasan hampir 10,000 meter persegi dan dijangka menarik lebih 15,000 pelawat perdagangan.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #cidb #teknologi automasi #bangunan pintar
;