Christoph Mueller perlu sentuhan ajaib pulihkan MAS - Nur Jazlan

Astro Awani
Disember 7, 2014 07:38 MYT
Christoph Mueller perlu sentuhan ajaib pulihkan MAS - Nur Jazlan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAS) yang baharu, Christoph Mueller memerlukan sentuhan ajaib bagi memulihkan semula syarikat penerbangan negara itu.
MAS yang kini berhadapan dengan masalah dari segi operasi perniagaan serta pasaran industri berada dalam situasi sukar untuk dibaikpulih.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Malaysia (PAC), Datuk Nur Jazlan berkata lantikan orang luar itu dilihat sebagai langkah akhir kerajaan dalam usaha memulihkan MAS.
Ia juga dilihat sebagai tindakan menyelamatkan duit rakyat sekali lagi dari terus membiayai kerugian yang dialami MAS.
“Saya berharap beliau akan dapat melakukan keajaiban untuk memulihkan MAS sebab syarikat itu sekarang banyak masalah dari segi operasi perniagaan dan sebagainya. Keadaan pasaran industri penerbangan sendiri, jangan sampai kerajaan terpaksa mengadakan undang-undang khas iaitu Akta MAS untuk memulihkan MAS dan sekarang ini mengambil CEO dari luar negara yang menafikan bakat-bakat CEO yang ada di Malaysia. Saya harap langkah-langkah drastik ini akan memulihkan MAS,” tegas Datuk Nur Jazlan.
Beliau berkata demikian selepas kempen kemaskini penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Pusat Khidmat Parlimen Pulai di Johor Bahru, Johor.
Namun demikian, Mueller yang menyertai AER Lingus pada September 2009 berjaya mengembalikan syarikat berkenaan daripada kemunduran.
Katanya Mueller perlu melihat cabaran institusi penerbangan di rantau Asia yang jauh berbeza di Eropah yang mana kebanyakan syarikat penerbangan dimiliki oleh kerajaan.
“Apabila dimiliki oleh kerajaan, kerajaan akan menampung pembiayaan syarikat penerbangan ini setakat mana yang boleh tetapi apabila syarikat penerbangan itu bermasalah kerajaan akan bertindak memulihkan syarikat penerbangan itu. Jadi bila dalam keadaan ini timbul masalah lebihan kapasiti. Semua syarikat penerbangan kerana matlamat nasionalnya dia nak membesarkan syarikat penerbangan mereka. Ini akan menyebabkan lebihan kapal terbang, kerusi dan sebagainya. Ini bukan lagi dikira ancaman low cost airline yang begitu meluas di Asia Tenggara yang berkembang. Ini belum lagi ancaman daripada syarikat penerbangan Timur Tengah yang sekarang ini sudah mula memindahkan hub penerbangan antara rantau ini dan Eropah ke Timur Tengah seperti Dubai, Abu Dhabi dan sebagainya.” tambahnya lagi.
Mueller dilantik sebagai CEO mas yang baharu berkuatkuasa 1 Januari 2015 di bawah pelan pemulihan MAS.
Selain Mueller, Khazanah turut mengumumkan pelantikan CEO dan Pengarah Axiata Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.
MAS mengalami kerugian teruk ekoran dua tragedi membabitkan dua buah pesawat miliknya iaitu MH370 dan MH17 dalam tempoh 5 bulan.
#Christoph Mueller #MAS #Nur Jazlan