#ChooseToChallenge: Wanita kental redah samudera gagah
Adie Sufian Zulkefli
Mac 8, 2021 10:23 MYT
Mac 8, 2021 10:23 MYT
ALOR SETAR: Pelayaran dari Singapura ke Pelabuhan Kure, Jepun mengubah nasib wanita ini menjadi lebih cekal dan berani dalam mendepani cabaran hidup.
Pengalaman itu mengubah hidup Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, 36, menjadi wanita pertama diangkat menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bermula 18 Januari lalu.
Baginya memegang status wanita bukanlah penghalang untuk sukses dan meraih pelbagai penghargaan dan pencapaian dalam kerjaya yang dimonopoli lelaki.
Azreyanti bagaimanapun membuktikan ia perlu didahulukan dengan tekad dan kesungguhan.
"Pengalaman yang satu-satunya saya dapat adalah belayar selama 11 hari dari Singapura ke Kure, Jepun tanpa talian telefon. Maksudnya kita tak boleh berhubung dengan ahli keluarga.
"Kebetulan ia berlaku ketika Hari Raya jadi saya memang terputus hubungan. Saya tidak dapat bertanya khabar. Ketika itu saya terpaksa kuatkan hati, kena cekal, kena pikir yang positif, dan kebetulan juga di Pelabuhan Kure dan seluruh Jepun sedang dilanda taufan," katanya kepada Astro AWANI.
Bagi ibu kepada seorang cahaya mata ini, komitmen sebagai warga Maritim Malaysia bukan segalanya untuk mengejar pangkat, tetapi melunaskan setiap tugasan yang diterima dengan sebaik mungkin adalah amanah paling besar.
Azreyanti mengakui dorongan keluarga terutama bapanya, Ishak Man, 63, yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menjadikannya berusaha keras sehingga berjaya melakar sejarah dalam pasukan beruniform itu.
"Apa yang perlu ada dalam diri kita, kita perlu cekal perlu, kuat tanpa ada rasa takut atau gentar untuk memimpin anggota bawahan kita, tidak kira usia dan juga yang dimonopoli golongan lelaki," katanya lagi.
Azreyanti menyertai Maritim Malaysia sebaik menamatkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2008.
Seperti anggota Maritim lain, dia menjalani latihan di laut dan pelayaran di atas Kapal KM Marlin di Lumut, Perak membuka peluang pertamanya.
Sebagai pegawai aritim, Azreyanti meraih pelbagai kecemerlangan terutama sebagai pegawai penyiasat kanan mengendalikan kes tangkapan syabu dalam sejarah Maritim Malaysia pada 2014.
Barangkali bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti dikecapi Azreyanti, namun dia membuktikan tiada yang mustahil selagi setiap impian didahulukan dengan kesungguhan.
Selari dengan tema Hari Wanita pada tahun ini “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”, Azreyanti berpesan bahawa wanita sama sahaja seperti lelaki cuma berbeza daripada segi bentuk fizikal sahaja.
"Sekarang ini perempuan mahupun wanita harus setanding dengan lelaki. Dalam bidang apa sekali pun, wanita boleh lakukan apa yang lelaki lakukan, cuma berbeza daripada segi bentuk fizikal sahaja.
"Walau bagaimanapun, tugas perempuan lebih mencabar kerana dia adalah seorang ibu dan dia adalah seorang isteri," tanmbahnya.
** Sempena Hari Wanita Sedunia 2021, Astro AWANI mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua kaum Hawa di mana sahaja anda berada. #ChooseToChallenge
#wanita
#ChooseToChallenge
#Noor Azreyanti Ishak
#Maritim Malaysia
#pelayaran
#Singapura
#Kure
#Jepun