Chini Memilih: 'Sampai terpaksa minum air paya' - Orang Asal rayu isu air diselesaikan

Fareez Azman
Jun 26, 2020 07:51 MYT
SIMEK APUN: Bila tidak ada air, saya terpaksa minum air paya; terpaksa makan dan mandi dengan air paya. -Astro AWANI
Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini masuk hari kelapan hari ini.
Pelbagai isu rakyat terus disuarakan penduduk demi kelangsungan kehidupan seharian mereka.
Tidak terlepas, masyarakat Orang Asal suku kaum Jakun di Kampung Tasik Mentiga, Tanah Puteh dan Kampung Binjai di kawasan itu yang memerlukan bekalan keperluan asas yang sempurna.
Menurut penduduk Beemui Weewat, 59, meskipun paip air telah dibina di kawasan kampung, namun masalah gangguan bekalan sering berlaku ketika waktu puncak.
"Kami hendaklah perkara utama macam bekalan air diselesaikan.
"Paip ada, tapi kadang-kadang tidak ada air. Mak cik terpaksa guna air paya di belakang rumah," katanya.
Ujarnya, paip telah dipasang sejak beberapa tahun lalu dan memberi bekalan air bersih kepada mereka.
Namun ia tidak bertahan lama sehingga memaksa mereka membeli sebuah mesin pam air sendiri untuk mendapatkan air daripada paya berhampiran.
Luahan sama turut disuarakan ibu tunggal yang juga penduduk di kampung Tasik Mentiga, Simek Apun, 66, yang mahukan kemudahan asas ditambah baik.
"Macam kawasan kampung saya tu, kadang kadang tidak ada air.
"Bila tidak ada air, saya terpaksa minum air payalah; kalau tidak ada air paip terpaksa makan dan mandi dengan air paya.
"Paip ada, tapi bila musim ada air, ada jugalah. Tapi bila musim tidak ada air, memang kering," katanya.
Justeru, harapan mereka agar calon wakil rakyat yang bakal dipilih pada 4 Julai depan dapat menyelesaikan masalah itu.
#air #DUN Chini #N23 #Orang Asli #Perkampungan #pilihan raya kecil #POS #PRK #tanah
;