Chini Memilih: Enam dikesan bergejala, seorang dirujuk ke klinik kesihatan

Hasimi Muhamad
Julai 4, 2020 18:14 MYT
Seramai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal layak mengundi pada PRK DUN Chini.
Seramai enam pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dikesan bergejala dengan seorang daripada mereka dirujuk ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk rawatan lanjut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, keenam-enam individu itu dibenarkan menunaikan tanggungjawab mereka di khemah rawatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, jelas beliau 98 lagi pengundi dirujuk ke khemah rawatan di pusat pengundian tersebut.
"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan dan lain-lain agensi telah memulakan persiapan sejak awal lagi bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar dengan kepatuhan terhadap kelaziman baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Antara SOP yang ditetapkan adalah mana-mana pengundi yang gagal saringan suhu dan bergejala akan diarah membuat undian di khemah khas.
Pengundi tersebut seterusnya akan diperiksa oleh pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya, tambah Dr Noor Hisham.
Katanya, seramai 140 orang anggota kesihatan ditugaskan di 13 pusat pengundian.
Seramai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal layak mengundi pada PRK DUN Chini.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #Noor Hisham Abdullah #perubatan
;