Chini Memilih: Calon Bebas janji bawa rintihan rakyat
Fareez Azman
Jun 20, 2020 13:08 MYT
Jun 20, 2020 13:08 MYT
Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, mendakwa suara rakyat tidak pernah dibawa ke peringkat atasan sebelum ini.
Justeru, beliau berharap diberi mandat mewakili pengundi DUN berkenaan supaya dapat membawa suara mereka.
"Hasrat rakyat selama ini tidak pernah dibawa oleh wakil rakyat terdahulu dan ia akan menjadi isu utama dalam kempen saya.
"Saya akan bawa rintihan mereka kepada pihak atasan (kerajaan). Selama ini tidak ada pun dan tidak pernah rintihan mereka dibawa ke atas, tetapi kali ini saya sendiri akan bawa," dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Pusat Penamaan Calon Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan pada Sabtu.
Tengku Zainul Hisham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pekan, terdahulu tiba di pusat penamaan calon itu pada jam 8.35 pagi sebelum menyerahkan borang pencalonannya tepat jam 9.02 pagi.
Mengakui berdepan cabaran membentuk jentera kempen apabila keputusannya itu tidak sehaluan dengan partinya, Tengku Zainul Hisham berkata beliau akan tetap berusaha.
"Saya akan berkempen seperti mana yang disarankan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.
#calon Bebas
#DUN Chini
#IKBN
#Media
#N23
#Pekan
#pilihan raya kecil
#PRK
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tengku Zainul