Chini Memilih: 23 peratus keluar mengundi setakat jam 10 pagi - SPR
Fareez Azman
Julai 4, 2020 11:50 MYT
Julai 4, 2020 11:50 MYT
Sebanyak 23 peratus pengundi telah keluar menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini setakat jam 10 pagi ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom yang menyifatkan ia satu perkembangan menggalakkan.
Beliau turut berpuas hati prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara dipatuhi.
"Boleh dikira mengalakkan. Sama seperti biasa, 23 peratus keluar setakat pukul 10 pagi. Kita telah melawat satu tempat mengundi. Kita dapati SOP dipatuhi. Yang agak susah, penjarakan sosial.
“Dalam bilik mengundi, SOP dipatuhi. Masalahnya, ia perlahan sedikit, sebab sekarang ada proses baharu. Jadi, proses itu agak perlahan sedikit berbanding proses biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 di sini.
Sehingga kini, jelasnya, semua peraturan ditetapkan oleh SPR dipatuhi oleh pengundi serta tiada provokasi dilaporkan.
Terdahulu, 13 buah pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka tepat jam 8 pagi dan proses pengundian dijangka berakhir jam 5.30 petang.
Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menyaksikan 20,972 pengundi bakal memilih wakil rakyat mereka.
#azmi sharom
#DUN Chini
#penjarakan sosial
#pilihan raya kecil
#PRK Chini
#PRK DUN Chini
#Suruhanjaya Pilihan Raya