China ulangi sokongannya terhadap pemusatan ASEAN

Bernama
Ogos 9, 2022 15:02 MYT
China mengiktiraf dan menghormati ASEAN sebagai zon yang aman, bebas dan berkecuali, dan tidak pernah meminta ASEAN untuk berpihak. - Asean.org
KUALA LUMPUR: China mengulangi sokongannya terhadap Pemusatan ASEAN dalam kerangka serantau yang terus berkembang di saat kumpulan 10 negara itu menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-55 pada Isnin.
Kementerian Hal Ehwal Luar China dalam satu kenyataan memaklumkan kumpulan itu telah mengetuai Asia Timur dalam memupuk kerjasama serantau yang terbuka dan inklusif dengan ASEAN sebagai pusat, serta memberi sumbangan penting kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran di rantau ini.
"Sebagai jiran ASEAN dan Rakan Strategik Komprehensif, China ingin melihat ASEAN yang bersatu, bebas, kukuh dan berkembang," menurut kenyataan yang disiarkan di laman web kementerian itu pada Isnin.
Kementerian itu memaklumkan bahawa China mengiktiraf dan menghormati ASEAN sebagai zon yang aman, bebas dan berkecuali, dan tidak pernah meminta ASEAN untuk berpihak, serta tidak akan berbuat demikian di masa hadapan.
"Hubungan ASEAN-China tidak mensasarkan mana-mana pihak ketiga atau tertakluk kepada gangguan dan provokasi terhadap mana-mana pihak ketiga," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu menegaskan bahawa China bersedia untuk menjadi negara pertama menandatangani Protokol Perjanjian berkenaan Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara bagi menyokong usaha ASEAN memastikan rantau itu bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran lain.
Ia juga menyentuh mengenai Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), menegaskan bahawa China bersedia untuk bekerjasama dengan kumpulan itu untuk menjamin keterbukaan, keterangkuman, dan kerjasama yang menguntungkan semua pihak, memajukan kerjasama praktikal dalam empat bidang keutamaan AOIP, serta menggalakkan pemulihan pasca COVID dan pembangunan mampan di rantau ini.
Mengenai integrasi ekonomi serantau, kenyataan itu berkata China akan berusaha untuk perkenalkan pembangunan bersama di rantau ini melalui pusingan baharu penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Dengan memberi tumpuan kepada mewujudkan tanah air yang aman, selamat dan terjamin, makmur, indah dan mesra bersama-sama, kementerian itu memaklumkan China berharap dapat bekerjasama dengan ASEAN untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif, dan membina komuniti ASEAN-China yang lebih mesra di masa hadapan.
-- BERNAMA
#China #ASEAN #kerjasama serantau #kestabilan
;