China setuju lanjutkan tempoh pengecualian visa untuk rakyat Malaysia - Ahmad Zahid

Nazri Kahar
Mei 31, 2024 14:45 MYT
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai. - Gambar/ DPMO/ Fariz Iswadi
BEIJING: China bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong Malaysia dari 15 ke 30 hari, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, persetujuan itu dicapai ketika kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang, kelmarin.
"Saya ingin mengumumkan kedua-dua negara bersetuju (melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong kepada 30 hari).
"Pelaksanaan akan dibuat selepas perjanjian mengenai perkara ini ditandatangani ketika kunjungan Qiang ke Malaysia bulan hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai di sini, pada Jumaat.
Majlis Makan Tengah Hari sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia China dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di China dan Persatuan Persahabatan Malaysia China.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang; Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin; Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Setiausaha Bahagian Asia Timur, Kementerian Luar, Datuk Tarid Sufian dan Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
#China #lanjutan pengecualian visa #pengecualian visa #Zahid Hamidi
;