China menantikan Lawatan Negara pertama Agong selepas 10 tahun - Duta
Bernama
September 19, 2024 10:15 MYT
September 19, 2024 10:15 MYT
BEIJING: Selepas 10 tahun, Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke China sememangnya detik yang dinanti-nantikan kedua-dua negara yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata, China amat mengalu-alukan lawatan oleh Seri Paduka Baginda yang bermula hari ini hingga 22 Sept.
"Lawatan Negara ini ialah yang pertama semenjak 10 tahun ... memang agak lama. Kita amat gembira dengan kunjungan ini. Lawatan ini juga tepat pada masanya ketika kita meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara Malaysia dengan China tahun ini.
"Kita rancang agak lewat, selalunya perbincangan untuk Lawatan Negara mengambil masa setahun lebih awal, namun disebabkan hubungan rapat dua negara, apabila kita utarakan cadangan agar Sultan Ibrahim melawat China selepas istiadat pertabalan, terus dapat jawapan setuju, cuma kita mencari masa yang agak sesuai," katanya kepada Bernama di sini.
Lawatan Negara pertama oleh Seri Paduka Baginda ke China sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan 2024 adalah atas jemputan Presiden Xi Jinping.
Keberangkatan Sultan Ibrahim akan diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zain serta pegawai-pegawai kanan dari Istana Negara dan kementerian serta agensi berkaitan.
Pada lawatan ini, Yang di-Pertuan Agong akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti dengan pertemuan bersama Xi serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan diraikan oleh Presiden China itu, selain Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri China, Li Qiang.
Sultan Ibrahim juga dijadualkan menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong diikuti sesi ramah mesra bersama rakyat Malaysia di negara berkenaan.
Norman berkata, Lawatan Negara tidak dapat dilakukan sejak 10 tahun lepas antaranya disebabkan oleh wabak COVID-19 dan pertukaran kerajaan, justeru sudah semestinya lawatan kali ini diharapkan akan terus mengekalkan momentum hubungan baik antara Malaysia dengan China.
Beliau berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan rasmi ke negara ini tahun lepas, banyak lawatan peringkat tertinggi dilakukan di China dan juga Malaysia baru-baru ini.
"Ia bukan lawatan kosong, hasil daripadanya banyak kerjasama baharu yang telah kita capai terutama sekali dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan negara China telah bersetuju tawar lebih banyak tempat untuk pelajar TVET Malaysia datang ke China.
"Kita juga ada berbincang untuk permudah banyak perkara dari segi hubungan dua hala terutamanya kita beri pelepasan visa untuk rakyat China selama 30 hari dan China beri kita 15 hari dan baru-baru ini, Malaysia dibenarkan untuk eksport durian segar.
"Perkara ini semua hasil kerjasama hubungan diplomatik yang rapat, kita harap lawatan Seri Paduka Baginda ini akan mengekalkan momentum hubungan kita untuk tahun-tahun seterusnya dan berharap semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, akan ada lawatan timbal balas oleh Presiden China," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penanda aras hubungan rapat antara kedua-dua negara ialah hubungan perdagangan, iaitu China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion) yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global negara ini.
Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024, mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (AS$49.53 bilion) berbanding RM214.87 bilion (AS$48.21 bilion) pada pertengahan tahun pertama 2023.
Selain itu, Norman berkata, Lawatan Negara kali ini akan melihat kembali antaranya pencapaian hubungan diplomatik Malaysia dengan China dan kerjasama dalam isu-isu yang lebih besar.
"Sebagai contoh, dasar Malaysia MADANI oleh Anwar adalah agak sama dengan konsep diutarakan Presiden China iaitu Community of Shared Future (CSF), dengan Malaysia MADANI berkongsi nilai dan sifat bersama CSF yang dicadangkan Xi berdasarkan inovasi, penjagaan dan keterangkuman serta saling menghormati.
"Berkaitan dengan itu, Malaysia juga ingin mempelajari beberapa perkara dengan China khususnya dalam pembasmian miskin tegar kerana China telah berjaya mengeluarkan berjuta-juta rakyatnya daripada kemiskinan tegar dalam masa beberapa dekad dan hal ini menjadi aspirasi kepada banyak negara termasuk Malaysia," katanya.
Mengenai kerjasama pendidikan, Norman berkata, Malaysia mengiktiraf China sebagai antara rakan paling penting dalam bidang pendidikan tinggi, dan setakat Jun lepas, sebanyak 47,937 pelajar antarabangsa dari China melanjutkan pengajian di Malaysia merangkumi 21,590 pelajar sepenuh masa di universiti swasta dan 26,347 pelajar sepenuh masa di universiti awam.
"Sebagai contoh, terdapat 7,650 pelajar melibatkan 4,514 pelajar tempatan dan 3,136 pelajar antarabangsa (2,200 pelajar dari China) di Xiamen University of China yang membuka cawangan di Sepang, Selangor pada 2016.
"Malaysia mengalu-alukan lebih ramai kedatangan pelajar dari China. Kita juga telah bekerjasama dalam bidang TVET yang dipelopori oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatannya ke China baru-baru ini," katanya. - BERNAMA