China memainkan peranan penting untuk kestabilan makanan global - FOA
Bernama
Ogos 23, 2023 04:45 MYT
Ogos 23, 2023 04:45 MYT
BEIJING: Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) pada Selasa menzahirkan penghargaan kepada China atas sumbangan positifnya selama empat dekad terhadap kestabilan makanan dunia.
Wakil FAO di China, Carlos Watson berpendapat, negara Tembok Besar itu berjaya menjamin sumber makanan buat rakyatnya yang berpopulasi satu perlima daripada penduduk sejagat dengan menggunakan hanya sembilan peratus tanah pertanian dan enam peratus sumber air tawar di dunia.
Beliau turut menyifatkan kejayaan itu sebagai sumbangan besar kepada kestabilan makanan global.
"Sebagai satu daripada pengeluar, pengguna, pengeksport dan pengimport produk pertanian terbesar di dunia, China yang mampan dalam bidang bekalan, stok, perdagangan dan penggunaan bijirin telah memainkan peranan penting dalam pasaran makanan antarabangsa serta kestabilan makanan global.
"Pada masa sama, China telah menjadi rakan kerjasama strategik FAO dalam mempromosikan kerjasama Selatan-Selatan dan kerjasama trilateral dalam bidang pertanian," kata Watson.
Tambah beliau, pihaknya menyelesaikan lebih 40 isu berkaitan di China.
"Kami berasa amat bangga menjadi rakan kongsi China dalam mencapai matlamat yang cemerlang,"
"Selain itu, kami menyaksikan China bersedia berkongsi pengalaman sendiri dengan negara-negara lain untuk membantu negara-negara membangun lain mencapai matlamat pembangunan mereka," kata Watson sambil menyifatkan perubahan drastik di China sebagai sangat mengagumkan.
-- BERNAMA