China, Jepun, Korea setuju salur kepakaran pembangunan tenaga di ASEAN - Fadillah
Bernama
September 27, 2024 16:37 MYT
September 27, 2024 16:37 MYT
VIENTIANE: China, Jepun dan Korea Selatan bersetuju untuk menyalurkan kepakaran teknikal kepada ASEAN bagi memperkasa pembangunan sektor tenaga boleh baharu (TBB) dan tenaga bersih.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ketiga-tiga negara tersebut memaklumkan komitmen tersebut ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) + 3 (China, Jepun, Korea) ke-21, di sini, hari ini.
"Saya telah memberi kenyataan tadi untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka dan kita memang mengharapkan bantuan teknikal terutama dari segi teknologi untuk beralih kepada tenaga bersih dan TBB," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia pada hari terakhir AMEM ke-42 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung bermula 26-27 September.
Sebagai Naib Pengerusi AMEM, Fadillah berkata bantuan yang sama turut diharapkan oleh ASEAN dari negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Australia bagi pembangunan sektor tersebut.
Sementara itu mengenai hasil mesyuarat dua hala dengan Vietnam di luar persidangan AMEM ke-42 hari ini, Fadillah berkata Malaysia mengusulkan agar proses lanjutan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama eksplorasi minyak dan gas sedia ada antara Petronas dan sebuah syarikat minyak Vietnam dapat dipercepatkan.
"MoU itu akan tamat tempoh sebenarnya dan Petronas sudah ada pasukan untuk mengemukakan tempoh lanjutan MoU sehingga 20 tahun akan datang supaya pelaburan itu dapat diteruskan.
"Timbalan Menteri Vietnam berkata perkara itu akan dibawa balik untuk dipercepatkan proses dan mengharapkan MoU itu akan dapat disambung lagi," katanya.
Selain itu, katanya, Malaysia juga memaklumkan minat Gentari Sdn Bhd, anak syarikat milik Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk melabur di Vietnam dalam industri tenaga angin.
"Pihak Vietnam meminta kita memberi konsep cadangan kerana mereka juga sedang menilai banyak cadangan lain, dan sudah pastinya dengan syarikat Malaysia menjalin usaha sama dengan anak syarikat kerajaan di Vietnam, ia akan diberi pertimbangan yang agak baik," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Vietnam turut meminta pandangan Malaysia berhubung hasrat negara itu dan Singapura untuk membekalkan tenaga melalui kabel dasar laut.
"Kita telah mengemukakan pandangan kita dan bersetuju agar perkara ini dibincangkan antara Vietnam, Malaysia dan Singapura secara bersama," katanya sambil menambah perancangan tersebut akan menghubungkan bekalan tenaga dari Vietnam ke Singapura melalui Malaysia di Kelantan.
Selain itu, Fadillah turut berkongsi mengenai hasrat Filipina untuk bekerjasama dalam pembangunan bahan api bio (biofuel).
"Mereka banyak bahan untuk biofuel. Saya cadangkan mereka untuk kemukakan secara rasmi supaya kita dapat tubuhkan pasukan untuk menilai perkara itu agar kita dapat bekerjasama," katanya.
--BERNAMA