China dijangka kekal jadi rakan dagang terbesar Malaysia pada masa depan
Hasimi Muhamad
November 4, 2024 18:20 MYT
November 4, 2024 18:20 MYT
SHANGHAI: China dijangka terus menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia, lebih-lebih lagi dengan kematangan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah mencecah 50 tahun.
Menurut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, terdapat peningkatan dalam perdagangan antara Putrajaya dan Beijing di sebalik cabaran ekonomi di peringkat global.
Ujar beliau, keyakinan tersebut juga dicerminkan melalui hubungan baik antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara.
"Seperti anda semua sedia maklum, baru-baru kita juga menerima lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan pada tahun ini lawatan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).
"Ini menunjukkan keakraban antara Malaysia dan China, di mana semasa lawatan ini pemimpin-pemimpin tersebut dapat memperhalusi dan mencapai kata sepakat tentang apa hala tuju hubungan dua hala.
"Ini amat membantu dalam meningkatkan nilai perdagangan Malaysia dan China," katanya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama delegasi media Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke China, di sini.
Mengulas lanjut, Norman berkata usaha untuk menarik pelaburan dari China telah dilakukan dengan lebih giat sejak dari awal oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
"Seperti kita tahu China sangat maju ke depan dalam teknologi kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui (RE). Ini semua adalah industri yang kita nak kembangkan dalam peringkat pelaburan," tambah beliau.
Perdana Menteri dijangka tiba malam ini sempena lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November 2024, atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7.
Bagi lima belas tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar.
Pada 2023, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.
Sehingga September 2024, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (US$76.72 bilion).
Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (US$ 252.5 juta).