China bangunkan sistem GPS untuk bulan

Amanz
Julai 15, 2024 12:30 MYT
Sebanyak 21 satelit akan mengorbit bulan bagi memberikan kemampuan GPS dengan ketepatan yang tinggi. -Gambar fail/Bernama
PERBATASAN seterusnya untuk manusia ialah angkasa lepas dan langkah pertama untuk merealisasikan impian ini ialah dengan membina koloni di permukaan bulan.
NASA, ESA, JAXA, Roscosmos dan CNSA kesemuanya mempunyai impian untuk menjadi yang pertama membina markas bulan seperti dalam siri sains fiksyen.
Terkini, Agensi Angkasa Kebangsaan China (CNSA) mengumumkan pembangunan sistem GPS mereka sendiri untuk bulan.
Sebanyak 21 satelit akan mengorbit bulan bagi memberikan kemampuan GPS dengan ketepatan yang tinggi.
Pelancaran satelit geolokasi di bulan ini akan dilakukan dalam beberapa fasa dengan fasa pertama membolehkan ia digunakan bukan sahaja untuk penjejakan lokasi tetapi juga sebagai pengantara isyarat komunikasi ke bumi.
Fasa kedua akan meningkatkan lagi jumlah satelit kali ini untuk penjejakan di kawasan sisi jauh bulan.
Setelah kesemua satelit dilancarkan, empat satelit boleh dihubungi serentak bagi memberikan bacaan kedudukan yang lebih jitu untuk angkasawan di permukaan bulan.
Sistem GPS ini apabila beroperasi kelak berguna untuk melakukan pengembaraan di permukaan bulan dan juga memudahkan proses pelancaran serta pendaratan kapal angkasa.
China mempunyai perancangan untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang 2030.
Mereka telahpun menjadi negara pertama berjaya mendaratkan proba di kawasan bulan jauh tahun ini dan memulangkan sampel tanah bulan ke bumi beberapa minggu lalu.
NASA telahpun menganugerahkan kontrak membina sistem GPS di bulan kepada Lockheed Martin sementara ESA akan menggunakan rangkaian satelit GPS Gallileo mereka untuk tugas yang sama. -Amanz
#gps untuk bulan #NASA #Agensi Angkasa Kebangsaan China #CNSA