China-ASEAN: Kor Ming sempat berpantun, mahu perluas kerjasama dalam pembangunan bandar mampan

Firdaus Azil
September 16, 2023 00:08 MYT
Negara ASEAN disaran untuk memperluas kerjasama dalam pembangunan bandar mampan melalui tiga bidang pembangunan semula bandar; peralihan tenaga baharu; dan pelaksanaan teknologi bandar pintar. - Gambar: KPKT
NANNING: Negara ASEAN disaran untuk memperluas kerjasama dalam pembangunan bandar mampan melalui tiga bidang – pembangunan semula bandar; peralihan tenaga baharu; dan pelaksanaan teknologi bandar pintar.
Sewaktu menyampaikan ucaptama sewaktu China – ASEAN Ministerial Roundtable on Construction, di sini, pada Sabtu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia merupakan antara tumpuan Malaysia melalui polisi Ekonomi MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, melalui tiga bidang tersebut, negara ASEAN boleh berkongsi pengalaman, kepakaran dan teknologi bagi mewujudkan bandar yang inklusif, selamat, berdaya tahan, dan mampan.
“Kita (negara-negara ASEAN) perlu bekerja bersama-sama untuk mencapai tahap kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat, terutamanya dalam mewujudkan ruang yang lebih selamat, mampan, serta efisien untuk penggunaan sumber.
“Malaysia telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan bandar-bandar kami inklusif, selamat, berdaya tahan, dan mampan. Saya berharap agar idea yang dikongsi dan dibincangkan di sini, dapat membantu anda membuat perubahan yang signifikan ketika anda pulang ke negara masing-masing,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Nga berkata, Malaysia dalam tempoh sedekad telah berubah menjadi negara urban, dengan lebih 77.5 peratus atau 22.75 juta rakyat tinggal di kawasan bandar dan bandar raya, sehingga mendorong Kerajaan untuk memupuk strategi pembangunan yang bertunjangkan kemampanan dan inklusif.
Di bawah teraju Perdana Menteri, Nga berkata, Ekonomi MADANI telah menggariskan strategi ekonomi baharu, antara lain mengandungi pembangunan ekonomi; promosi pelaburan; dan mengukuh industri tempatan untuk menjadi lebih inovatif, berdaya saing, serta mampu berkembang ke pasaran global.
Di pihak KPKT pula, beliau berkata, mereka telah memainkan peranan penting dalam membentuk polisi perumahan, termasuk pembangunan dan pelaksanaan Dasar Perumahan Negara (2018-2025), dan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (2019).
“Melalui Belanjawan Malaysia 2023, 16 Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu dengan 6,224 unit dibina bagi 24,896 keluarga berpendapatan rendah.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Malaysia meletakkan sasaran untuk menyediakan 500,000 rumah mampu milik bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Sehingga kini, 98,455 unit telah disiapkan, 176,792 dalam pembinaan, dan ia akan memberi manfaat kepada 400,000 isi rumah,” katanya lagi.
Nga berkata, KPKT juga telah mewujudkan polisi “Ease of Doing Business”di bawah Jawatankuasa Transformasi Kerajaan Tempatan, yang bertujuan untuk menambahbaik proses dan prosedur Pelan Pembangunan Kebenaran Perancangan.
Selain itu, beliau berkata, KPKT juga telah melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Bandar, sebagai salah satu komitmen Malaysia dalam memodenkan pembangunan bandar, dan mempromosi pembaharuan projek bandar yang lebih efisyen dan mampan.
Jelas beliau, itu merupakan sebahagian inisiatif dan polisi yang dilakukan Kerajaan, dan berharap ia dapat dikongsi bersama-sama dengan negara ASEAN yang lain untuk manfaat bersama.
Ketika mengakhiri ucapannya, Nga sempat menggamit delegasi Menteri-menteri ASEAN dengan serangkap pantun –
“Buah Cempedak Enak Rasanya
Buat Santapan di Waktu Senja
Sekian Sahaja Ucapan Saya
Diharap Dapat Manfaat Semua”
#Nga Kor Ming #ASEAN #sektor perumahan #sektor pembinaan
;