Chin Peng: Dia bukan boleh buat apa, abu dia sahaja balik - Tun Mahathir

Rahimah Abdullah
November 28, 2019 17:24 MYT
Perdana Menteri pada masa sama tidak menolak kemungkinan ada pihak yang ada agenda tersendiri terhadap isu berkenaan. - Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia tidak perlu diperbesarkan mana-mana pihak terlibat.
Ia berikutan katanya pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sudah meninggal dunia.
“Dia (Chin Peng) sudah mati. Banyak orang yang dulu dera kita macam orang Jepun apa semua. Tetapi kita lupakan yang lama. Bukan dia boleh buat apa dah.
"Cuma abu dia sahaja yang balik. Kita beri Shamsiah Fakeh balik pun tiada siapa complaint. Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Ada lain lagi. Tapi Chin Peng memang kita tak mahu terimalah sebab dia ketua,” katanya dalam sidang media bersama Media Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di sini pada Khamis.
Perdana Menteri pada masa sama tidak menolak kemungkinan ada pihak yang ada agenda tersendiri terhadap isu berkenaan.
“Benda semacam ini, yang nak bangkit ini untuk apa? Nak puaskan hati siapa? Nak suruh kita pergi kutip dan hantar ke luar negeri? Benda yang kecil macam itu korek nak memburukkan kerajaan. Benda ini berlaku macam masa (zaman) Najib dulu tetapi tiada apa. Namun sekarang semua berbalik kepada PH,” ujarnya.
Katanya lagi, tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng ada di luar kawalan mana-mana pihak.
“Macam mana kita nak tahu? Dia bawa abu dalam flusk dan kita tak tahu siapa yang nak tengok. Kalau nak buang abu tu, buang lah,” tambahnya lagi.
Pada Khamis, kerajaan memaklumkan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk membawa masuk abu mayat Chin Peng ke Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata kementeriannya telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.
#abu Chin Peng #abu mayat #Chin Peng #komunis #Mahathir Mohamad #Parti Komunis Malaya #Perdana Menteri #PKM
;