Children, tema iklan Merdeka Petronas
Arfa Yunus
Ogos 22, 2013 08:28 MYT
Ogos 22, 2013 08:28 MYT
"Kehidupan kita mungkin berbeza. Tetapi impian dan harapan kita adalah sama".
Itu merupakan slogan bagi Iklan Televisyen Petronas tahun ini sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
Iklan televisyen sempena Kempen Hari Merdeka dan Hari Malaysia Petronas yang bertajuk 'Children' mengisahkan hidup empat orang individu yang mempunyai latar belakang etnik dan sosio-ekonomi berbeza – seorang posmen, petani, pekedai runcit dan pengumpul rotan.
Mereka disatukan melalui sebuah impian yang dipandukan nilai serta harapan yang sama.
"Dalam kempen tahun ini, kami ingin mengetengahkan unsur-unsur kesamaan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mata dunia. Walaupun kelihatan berbeza, namun harapan, impian dan aspirasi kita adalah sama," kata Pengurus Besar Kanan, Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah.
Kempen PETRONAS pada tahun ini akan memaparkan sebuah iklan televisyen serta aktiviti untuk menanam rasa bangga terhadap negara di kalangan generasi muda.
"Nilai-nilai perpaduan, keharmonian, saling hormat-menghormati dan toleransi merupakan asas kehidupan bagi setiap rakyat Malaysia dan ciri-ciri inilah yang membezakan kita secara kolektif sebagai warga negara Malaysia, tanpa mengira latar belakang dan asal-usul yang berlainan," tambah Mohammad Medan.
Dalam masa sama, 'Projek #tanahairku' yang berilhamkan puisi nukilan Sasterawan Negara Malaysia, Allahyarham Datuk Usman Awang bertajuk sama akan dipaparkan serentak sewaktu iklan televisyen disiarkan.
Anak perempuan Usman Awang, Haslina Usman berkata, beliau berpuas hati dengan iklan tersebut berdasarkan aliran cerita yang berkaitan dengan puisi bapanya.
"Saya pasti ayah saya suka jalan cerita tersebut. Secara peribadi, saya suka kerana ia mengingatkan saya kepada bapa saya pada babak tertentu, "kata Haslina tersenyum.
Komposer lagu terkenal, Audi Mok yang telah mencipta nama dengan mengarang lagu-lagu untuk penyanyi popular Malaysia seperti Siti Nurhaliza, Suki dan Faizal Tahir berkata iklan Petronas yang dipaparkan mempunyai jalan cerita yang ‘kuat’ dan muzik yang digunakan dalam aliran cerita menjadikan penonton bersemangat untuk menontonnya.
"Bagi saya ia amat menarik. Ia seolah-olah menarik saya untuk terus menonton sehingga penghujung. Melihat perjalanan hidup dan kehidupan yang mereka lalui, ianya agak menakjubkan buat saya. Dari sudut pandangan penerbitan, ia adalah sangat baik kerana ia menceritakan tentang kasih sayang dan usaha.
"Saya boleh mengaitkan diri dengan jalan cerita ini kerana saya mempunyai seorang anak berusia tiga tahun dan ia memberi saya keselesaan untuk mengetahui bahawa itu mungkin adalah masa depan anak saya juga apabila dia besar nanti," tambah Audi.
Sebagai sumbangan kepada rakyat Malaysia, Petronas akan mengedarkan beg nilon mesra alam edisi terhad di stesen-stesen Petronas terpilih di seluruh negara antara 31 Ogos dan 16 September untuk memeriahkan lagi sambutan Kempen Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2013.
Saksikan iklan tersebut.