Chevrolet gesa pemilik di Malaysia ganti beg udara pemandu
Bernama
April 17, 2023 18:52 MYT
April 17, 2023 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Chevrolet memberi peringatan kepada pemilik kenderaannya di Malaysia berhubung kempen memanggil balik sebanyak 3,725 unit kenderaan Chevrolet dan SAAB di negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, jenama kereta Amerika itu berkata, kempen tersebut yang dilancarkan pada Jun tahun lepas bertujuan menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian pemandu bagi kenderaan yang terjejas kerana terdapat potensi kematian sekiranya beg udara yang rosak teraktif sekiranya berlaku kemalangan.
Model kenderaan yang terlibat adalah Chevrolet Cruze (2010-2015), Chevrolet Orlando (2013-2015), Chevrolet Sonic (2013-2014), Chevrolet TRAX (2017) dan SAAB 9-3 (2007).
"Pemilik kenderaan Chevrolet yang terlibat dan tidak menerima makluman atau panggilan berikutan data pemilikan yang lama pada sistem, digalakkan untuk menghubungi pasukan petugas kami atau log masuk ke laman web kempen panggilan balik untuk butiran lanjut.
"Demi keselamatan anda dan insan tersayang, kami menggesa pemilik kenderaan untuk segera menukar beg udara sebelum memulakan perjalanan pada musim perayaan," katanya.
Mereka yang terlibat boleh menghubungi +6011 3129 9963, +6011 3129 9965 atau melayari www.chevrolettakatarecallmy.com untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA