Chegu Bard direman dua hari berhubung dakwaan kes rasuah TLDM

Bernama
Julai 29, 2024 07:16 MYT
Chegu Bard (foto) direman dua hari bagi membantu siasatan dakwaannya berhubung isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi TLDM. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard direman dua hari bagi membantu siasatan dakwaannya berhubung isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa yang mengesahkan penahanan itu berkata proses reman itu merupakan prosedur biasa bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.
"Setakat ini, hanya satu laporan diterima berhubung isu itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Berkaitan kes kehilangan pengasuh taska Nur Shafila Suaib, 20, sejak 15 Julai lepas, Rusdi berkata wanita itu ada menghubungi keluarganya namun masih belum pulang ke rumah.
"Saya percaya ada sedikit perselisihan faham antara wanita itu dengan ahli keluarganya dan keluarganya mengesahkan bahawa dia (Nur Shafila) ada menghubungi keluarganya namun arahan saya adalah perlu berjumpa secara bersemuka.
"Bila menghubungi ini tidak cukup, sebab orang lain juga boleh menghubungi dan menyamar sebagai wanita terbabit. Kita perlu berjumpa secara bersemuka dan pastikan dia selamat serta sihat," katanya.
Beliau berkata buat masa ini keberadaan Nur Shafila masih dalam siasatan dan kes itu boleh diklasifikasikan sebagai selesai selepas polis menjumpainya secara fizikal.
Terdahulu, majlis serah terima tugas itu menyaksikan Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Nuzulan Mohd Din dilantik sebagai pemangku ketua polis daerah berkenaan menggantikan SAC Noor Dellhan Yahaya.
Noor Dellhan kini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah (D4) Risikan/Operasi/Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
-- BERNAMA
#Che'gu Bard #TLDM #kes rasuah #reman