Chef Table: 50 cef raikan golongan kurang bernasib baik

Amirrul Rabbani
Februari 26, 2022 18:41 MYT
Bertemakan Antara Masakan dan Kasih Sayang mereka yang diraikan itu terdiri daripada anak-anak yatim dan ibu tunggal. - Gambar Astro AWANI
KUALA KANGSAR: Lebih 70 asnaf berpeluang menikmati pelbagai juadah istimewa yang disediakan 50 cef dari seluruh negara menerusi program ‘Chef Table’ dekat sini, hari ini.
Bertemakan ‘Antara Masakan dan Kasih Sayang’ mereka yang diraikan itu terdiri daripada anak-anak yatim dan ibu tunggal dalam program yang diadakan di The Pjoi’s Café, pada Sabtu.
Antara nama yang tidak asing dalam dunia masakan tempatan yang terlibat adalah Master Chef Masakan Melayu dari Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCED), Cef Sabri Hassan serta Cef Diraja, Chef Zaini Zainol.
Wakil penganjur yang juga Pengarah Urusan The Pjoi’s Café, Datuk Shahrul Aman Zulkifli berkata, tujuan utama penganjuran Chef Table itu bukan sahaja mengumpulkan nama-nama besar dalam industri kulinari tempatan, sebaliknya, untuk meraikan golongan yang kurang berkemampuan.
“Kami mahukan mereka juga mempunyai pengalaman merasa makanan yang dimasak para cef dari hotel-hotel dan restoran ternama sera bertaraf lima bintang.
“Oleh sebab itu kami bawakan 50 cef ini untuk menyediakan pelbagai makanan istimewa buat mereka. Malah layanan yang diberikan kepada mereka juga seolah-olah berada di restoran mewah,” katanya
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Chef Table yang diadakan di The Pjoi’s Café dekat sini, pada Sabtu.
Tambah Shahrul Aman, program berkenaan berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Menurut beliau lagi, penganjuran acara tahunan yang memasuki edisi ke-18 itu merupakan julung kali diadakan di Bandar Diraja Perak dalam skala besar.
Sebelum ini, Chef Table pernah diadakan di beberapa tempat seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur dan Langkawi, sementara penganjuran berskala kecil di Tanjung Malim pada tahun 2018 adalah yang terakhir sebelum terhenti seketika pada akibat penularan COVID-19.
“Ramai antara cef ini yang turut terkesan susulan industri perhotelan yang tidak boleh beroperasi akibat COVID-19. Ada antara cef ini juga yang kehilangan mata pencarian sebelum ini. Justeru penganjuran kembali Chef Table ini juga sebagai meraikan mereka kembali.
“Selain itu, kami berharap juga agar The Pjoi’s Café dapat menjadi lokasi tetap penganjuran acara ini pada masa akan datang,” jelas beliau.
Selain sumbangan wang tunai, antara juadah yang disediakan untuk para asnaf yang hadir adalah kambing dan ayam bakar, ayam panggang, nasi minyak serta pelbagai makanan tempatan dan barat yang lain.
Dalam pada itu, salah seorang asnaf dari Kampung Dew, Salasiah Arifin, 76, berkongsi keseronokan kerana berpeluang menikmati pelbagai juadah istimewa yang disediakan.
Salasiah yang hanya mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda kerana mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki sejak empat tahun lalu itu memberitahu, itu adalah kali pertama dalam hidupnya dapat merasai makanan-makanan mewah.
#Chef Table #50 cef #asnaf #program Chef Table
;