Chef Ismail tukang masak di Tanah Suci pada musim haji
Bernama
Julai 1, 2019 08:05 MYT
Julai 1, 2019 08:05 MYT
Berpengalaman lebih 20 tahun, Chef Ismail Hamid adalah antara tukang masak yang akan menyediakan makanan kepada jemaah dan petugas haji di Tanah Suci pada musim haji kali ini.
Ismail, 48 tahun, berkata dia akan dibantu Chef Bakri Ahmad, 41 tahun, dan Chef Yusairi Mustafa, 40 tahun, menyediakan makanan di ibu pejabat Tabung Haji (TH) di Bangunan Abraj Al-Janadriah di Mekah.
Dia yang terlibat dalam dunia kulinari sejak berusia 23 tahun berkata, peluang untuk berkhidmat bersama TH di Tanah Suci disifatkan sebagai satu nikmat yang dinanti-nanti, khususnya apabila dapat menyediakan makanan kepada petugas yang menyantuni jemaah haji.
"Masih ingat lagi pada tahun 2008, saya masak untuk jemaah haji ketika kemuncak haji di Arafah dengan menggunakan dapur kayu arang sambil menyarung ihram kerana turut serta menjalankan ibadah wukuf.
"Pengalaman seperti ini tidak ternilai kerana kita ingin memastikan para jemaah dapat makan dan mengalas perut supaya tidak mengganggu ibadah mereka," katanya dalam temubual yang dikongsikan TH pada Ahad.
Ismail berkata tugas dan ibadah dilaksanakan seiring dalam mencari keberkatan.
Katanya penyediaan masakan yang halal dan bersih dengan mematuhi peraturan standard operasi pengendalian penyediaan makanan yang ditetapkan oleh TH, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi juga merupakan satu ibadah.
"Saya amat bersyukur kerana dapat bekerja sambil beribadat. Bertugas di Tanah Suci ini adalah impian yang amat saya harapkan dan Alhamdulillah, pada tahun ini, dimakbulkan," katanya.
Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dengan kumpulan pertama dijangka tiba di Tanah Suci pada 4 Julai ini, dibantu oleh 640 petugas daripada TH.
-- BERNAMA