Che' Puan Khaleeda santuni Bella, rakan-rakan di Legoland
Nickyson Nyambar
Mei 15, 2022 20:42 MYT
Mei 15, 2022 20:42 MYT
Che' Puan Khaleeda Bustamam dilihat mesra dan memeluk erat Bella ketika majlis kecil itu. Turut hadir sama, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Gambar Facebook YAM Che' Puan Besar Khaleeda
KUALA LUMPUR : Isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che' Puan Khaleeda Bustamam menyantuni beberapa kanak-kanak istimewa termasuk adik Bella di Legoland, Johor Bahru hari ini.
Beliau yang lantang memperjuangkan nasib remaja berusia 13 tahun itu berharap majlis berkenaan dapat membawa keceriaan dan mengukir senyuman di wajah mereka.
"Adalah satu penghormatan besar untuk saya bertemu adik Bella serta rakan-rakannya.
"Semoga adik Bella, rakan-rakan dan sekalian kanak-kanak di seluruh negara sentiasa dilindungi Allah SWT," katanya dalam perkongsian di laman Instagramnya @ymchepuankhaleeda
Beliau dalam masa sama turut menegaskan bahawa adalah penting untuk golongan seperti ini diberi perlindungan sewajarnya supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.
Che' Puan Khaleeda adalah merupakan antara individu yang lantang memperjuangkan kes penderaan kanak-kanak, khasnya nasib malang yang menimpa kanak-kanak istimewa, Bella yang dipercayai didera ketika berada di bawah pusat penjagaan Rumah Bonda yang diselia oleh Siti Bainun Ahd Razali.
Remaja sindrom down itu sebelum ini mengalami kecederaan seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya.
Keadaannya itu mengundang kemarahan dan kekecewaan rakyat Malaysia terutama kepada pengasas pusat penjagaan itu, Siti Bainun.