Che' Puan Khaleeda mahu kes baby Syifaa disiasat semula
Siti Nur Aqilla Omar
Jun 23, 2022 12:49 MYT
Jun 23, 2022 12:49 MYT
JOHOR BAHRU: Isteri Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam menggesa kes kematian bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan, ketika dalam jagaan di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan, Februari lalu, disiasat semula.
Gesaan itu disuarakan menerusi hantarannya di Instagram, semalam.
Dalam hantaran pertama petang semalam, Che' Puan Besar Khaleeda berkongsi hantaran bapa bayi malang itu, Yuseri Yusoff, yang memuat naik gambar kecederaan Nour Rania Asyifaa atau baby Syifaa.
Che' Puan Besar Khaleeda turut meletakkan tanda pagar #justiceforbabysyifaa serta menandakan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun #rinaharunofficial.
Pada hantaran kedua pula, Che' Puan Besar Khaleeda menyuarakan pandangannya yang melihat kecederaan bayi itu seperti tidak masuk akal.
"Bagi saya tidak masuk akal 'Baby' (bayi) Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret," tulisnya.
Che' Puan Besar Khaleeda kemudian berkongsi lagi hantaran Yuseri yang dibuat pada 24 Mac lalu dengan mempersoalkan bagaimana seseorang boleh melakukan tindakan sebegitu kepada seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.
"How can someone do this to a helpless child (Bagaimana seseorang boleh lakukan perkara ini ke atas kanak-kanak yang tidak berdaya?).
"You need to reinvestigate this case! (Kamu perlu siasat semula kes ini!)," tulisnya dengan menandakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Rina.
Dalam hantaran berikutnya, ibu kepada empat cahaya mata itu turut mempersoalkan kesan yang jelas kelihatan pada anak kecil itu.
"Dan lagi satu yang kawan saya 'pointed out' (tunjukkan), kesan di leher itu nipis. Kalau betul dijerut dengan buai, 'will it not show a thicker mark?' (bukankah ia akan menunjukkan kesan yang lebih tebal?) Tak pernah saya tengok buai yang bertali nipis," soalnya.
Media sebelum ini melaporkan, bayi tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 4.30 petang selepas pengasuh wanita membawa mangsa ke klinik untuk rawatan.
Hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban merumuskan tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi tersebut.
Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan itu ditetapkan semula pada 29 Jun ini di hadapan hakim Mahkamah Koroner Seremban.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rushan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mahkamah dimaklumkan hakim koroner yang sepatutnya mengendalikan inkues itu bercuti kerana tidak sihat.