Charlie Hebdo: Pembunuhan bukan cara Islam - Saifuddin Abdullah

T K Letchumy Tamboo
Januari 9, 2015 10:24 MYT
Beberapa kumpulan Islam sederhana mengutuk insiden menembak mati 12 orang di sebuah pejabat akhbar satirikal Perancis, Charlie Hebdo
Beberapa kumpulan gerakan sederhana Islam negara ini mengutuk insiden menembak mati 12 orang di sebuah pejabat akhbar satirikal Perancis, Charlie Hebdo, dengan berkata tindakan ganas seperti membunuh atas apa alasan sekalipun tidak seharusnya diterima.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata kebenaran Islam akan terserlah dengan sendirinya, oleh itu tidak ada keperluan untuk tindak balas yang bersifat ganas seperti membunuh.
“Saya memahami kebimbangan mengenai tindak tanduk akhbar itu. Walau bagaimanapun, Islam menyeru umatnya ke arah kesabaran dan kebenaran.
"Saya tidak setuju dengan tindakan akhbar itu, tetapi saya juga mengutuk keras pembunuhan tersebut," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Saifuddin juga menasihatkan umat Islam untuk mengawal emosi dan diri ketika berhadapan situasi seperti ini.
Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) Dr. Chandra Muzaffar pula berkata jalan penyelesaian terhadap masalah provokasi yang tercetus ekoran tindakan akhbar Charlie Hebdo menerbitkan kartun Nabi Muhammad, bukannya dengan membunuh.
"Caranya, mereka boleh menyatakan bantahan dengan menulis tentang hal itu, mereka boleh mendedahkan kartun itu, mereka boleh mendedahkan kartunis terbabit. Tetapi tiada justifikasi untuk membunuh.
"Jika umat Islamlah yang melakukan perkara ini, ia perlu dikutuk. Islam tidak mengajar membunuh orang.
"Kita semua tahu bahawa pembunuhan beramai-ramai ini adalah bertentangan dengan Islam," katanya.
Dr Chandra turut berkata perlu ada penyiasatan lengkap mengenai insiden itu di mana fokus harus diletakkan terhadap mengenal pasti identiti penembak-penembak terbabit dan kaitannya dengan sebarang organisasi.
Dalam insiden pagi Rabu itu, kartunis terbaik di Perancis antara 12 individu yang terbunuh apabila dua individu bersenjata meyerbu masuk ke dalam pejabat Charlie Hebdo.
Ketua Pengarang Stephane Charbonnier yang juga dikenali sebagai Charb dan kartunis yang dikenali sebagai Cabu, Tignous dan Wolinski turut terbunuh dalam serangan tersebut.
Pada November 2011, pejabat Charlie Hebdo pernah dibakar kerana menerbitkan kartun Nabi Muhammad di muka depan akhbar mereka.
#chandra muzaffar #Charlie Hebdo #Paris #Saifuddin Abdullah #tembak
;