Cetak rompak: Hukuman kepada pesalah harus setimpal kerugian karya - Seniman

Hafizi Rosli
Mac 2, 2021 12:43 MYT
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, hukuman kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini harus setimpal dengan kerugian yang ditanggung pengkarya. - Gambar/Facebook
KUALA LUMPUR: Peningkatan jenayah cetak rompak terutamanya dalam industri hiburan tanah air adalah disebabkan hukuman yang dikenakan terhadap penjenayah terlalu rendah.
Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, hukuman kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini seharusnya setimpal dengan kerugian yang terpaksa ditanggung pengkarya baik dari sektor perfileman, muzik dan persembahan.
"Hukuman kena beratkan lagi. Jika jenayah rasuah, mereka dihukum lima hingga 10 kali nilai suapan. Kalau lihat pembikinan sebuah filem kosnya berjuta. Jadi boleh juga kita kenakan hukuman sama setimpal dengan kerugian yang terpaksa ditanggung pengkarya," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.
Hukuman pesalah cetak rompak perlu setimpal dengan kerugian pengkarya
BACA: Aspirasi Astro bersama anak seni #StopPiracyLah #NoToLanun
Zed berkata, hukuman yang setimpal sudah tentu akan menakutkan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan 'rompakan' yang pada ketika ini rancak dilakukan di laman sesawang tidak sah.
Katanya, jenayah cetak rompak melalui mekanisme juga merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi penggiat seni kerana terdapat laman sesawang yang menawarkan pautan secara percuma untuk penonton mendapatkannya.
Kesannya, tegas Zed, dirasakan langsung oleh penggiat seni kerana karya-karya mereka kekurangan atau kehilangan penonton dan pembeli.
"Ia beri kesan besar kepada industri terutamanya kepada produksi. Penggiat seni, artis, pelakon, krew produksi, serta barisan belakang tabir akan terima kesan.
"Kesannya mereka tidak terima royalti, penat lelah mereka semua ini sia-sia dan beri kesan kepada pendapatan mereka," katanya lagi.
Sehubungan itu, Zed menggesa agar penguatkuasaan digandakan supaya masalah cetak rompak dapat dibendung.
Cetak Rompak | Rakaman di sebalik tabir mampu buka mata masyarakat

** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.
#Astro Awani #filem #Seniman #Cetak rompak #jenayah #jenayah cetak rompak #Zed Zaidi #NoToLanun #StopPiracyLah
;