Cetak rompak digital: Finas, Altimet, PPIM kerjasama laksana kempen kesedaran 'android box'

Astro Awani
Julai 10, 2024 18:28 MYT
Azmir (kiri) mengadakan perbincangan bersama Altimet (dua, kiri) dan Nadzim (kanan). - Gambar/ Finas
KUALA LUMPUR: Aktiviti cetak rompak digital yang menggunakan aplikasi atau perisian tidak sah semakin membimbangkan dengan pelbagai kandungan negatif yang boleh merosakkan termasuk judi dalam talian dan lucah, disebarkan dengan meluas.
Selain itu, aktiviti itu turut tidak menghormati undang-undang hak cipta kerana sindiket yang terbabit menyiarkan karya kreatif dan sebagainya tanpa izin pemilik.
Itu adalah antara perkara yang dibincangkan dalam perbincangan rasmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet, dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di pejabat Finas, semalam.
Mengulas mengenainya, Azmir menyatakan bahawa tindakan proaktif perlu diambil segera bagi mengatasi isu cetak rompak yang semakin meluas dengan kerugian dialami industri media dan hiburan di negara ini dianggar mencecah RM3 bilion.
Katanya, perbincangan itu membawa kepada keputusan untuk melaksanakan kempen kesedaran mengenai penjualan peranti televisyen atau android box.
"Langkah ini diambil untuk memberi kesedaran kepada pengguna mengenai bahaya kandungan tidak ditapis yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja, termasuk kanak-kanak tanpa pengawasan.
"Finas akan bekerjasama dengan Altimet yang akan bertindak sebagai jurucakap untuk menyebarkan maklumat ini di semua platform media sosial, stesen televisyen, dan panggung wayang mengenai penggunaan peranti penstriman haram ini.
"Sementara itu, PPIM akan membantu Finas dalam menghasilkan kandungan dan mesej mengenai isu cetak rompak ini secara lebih meluas kepada orang ramai," katanya.
Beliau berkata, Finas juga akan berbincang dengan wakil platform e-dagang, Shopee dalam masa terdekat mengenai isu cetak rompak yang dijual secara meluas di platform tersebut.
"Saya berharap pertemuan ini akan menghasilkan penyelesaian baharu untuk menangani isu cetak rompak melalui data yang mereka miliki," katanya.
#cetak rompak digital #FINAS #android box #Altimet
;