CES 2019 hambar? Mengapa ramai yang tidak hadir?

Ibrahim Sani
Januari 6, 2019 04:14 MYT
180,000 peserta dari seluruh dunia akan mempamerkan barangan mereka di CES 2019. - Foto CTA
Acara teknologi terbesar dunia, CES 2019, bakal hambar.
Jika kebiasaannya, ribuan pemain industri memeriahkan acara itu, namun kali ini suasana bakal berbeza.
Ini kerana, ribuan yang dijangka tidak akan hadir itu bukan sahaja dari Amerika Syarikat tetapi China.
Mengapa itu berlaku? Ada dua sebab dan kedua-duanya berkaitan dengan Amerika Syarikat.
Sebab pertama, penutupan Kerajaan Amerika Syarikat dan kedua Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China.
Penutupan Kerajaan AS menyebabkan Pengerusi FCC (Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat), Ajit Pai tidak akan hadir ke CES 2019.
Selain Pai, pegawai kerajaan lain seperti Brendan Carr, Rohit Chopra dan Rebecca Slaughter dari FTC mungkin tidak akan hadir juga.
Persatuan Teknologi Pengguna (Consumer Techology Association - CTA) telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya sepuluh pegawai kerajaan Amerika Syarikat tidak akan hadir kerana kerajaan persekutuan Amerika telah tutup.
China juga tidak akan hadir ke CES?
Menurut akhbar Financial Times, kemungkinan seramai 15,000 peserta dari China mungkin tidak akan hadir ke CES 2019 kerana perang dagangan Amerika Syarikat-China.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah beberapa kali menegaskan bahawa perang dagangan ini akan berakhir dalam beberapa minggu yang akan datang, tetapi menurut beberapa penganalisa, kebarangkalian ini akan menjadi realiti mungkin tidak akan berlaku.
Namun demikian, CES 2019 tetap akan menyaksikan seramai 180,000 peserta dari seluruh dunia mempamerkan barangan mereka yang berunsurkan dunia teknologi pengguna.
Astro AWANI hadir ke CES buat pertama kalinya, dan akan membawa berita secara lansung dari lokasi.
#ajit pai #Amerika Syarikat #Astro #Astro Awani #China #Donald Trump #financial times #ibrahim sani #kerajaan #perang dagang #presiden #teknologi
;