Cerun disahkan stabil, penduduk Apartmen Teratai dibenarkan pulang - JKR
Izza Izelan
Oktober 26, 2014 16:18 MYT
Oktober 26, 2014 16:18 MYT
Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil langkah penyelesaian jangka pendek susulan kejadian tanah runtuh di Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung sejak 21 Oktober lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Selangor, antara penyelesaian jangka pendek yang dipersetujui adalah pemasangan sheet pile, kanvas dan pemantauan ‘total station’ di kawasan cerun bermasalah berhampiran Blok K dan Blok L apartmen tersebut.
JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun dengan Jabatan Mineral dan Geosains telah membuat pemeriksaan tapak bermula 21 Okt hingga 26 Okt 2014.
Semasa pemeriksaan akhir jam 8:30 pagi tadi mendapati kawasan cerun adalah stabil. Walau bagaimanapun, pemantauan masih dijalankan secara berterusan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor dengan nasihat Jabatan Teknikal membuat keputusan untuk membenarkan penduduk Blok K dan Blok L untuk pulang ke kediaman masing-masing bermula jam 3 petang tadi.
Penduduk, walau bagaimanapun, dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.