Ceroboh tangkap ikan, 19 kru Vietnam ditahan, nilai rampasan RM3.1 juta
Siti Nur Aqilla Omar
September 28, 2022 19:03 MYT
September 28, 2022 19:03 MYT
MERSING: Sebanyak 3,000 kilogram hasil tangkapan laut dan dua bot nelayan asing bernilai kira-kira RM 3.1 juta dirampas dalam operasi bersepadu di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, di sini, sekitar pukul 2.30 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, turut ditahan ialah 19 kru warga Vietnam berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun yang gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.
"Kedua-dua bot telah ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menunda pukat secara berganding oleh aset Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan Op Jaksa dan Op Bersepadu.
"Bertindak hasil aduan makluman awam, dan bot ronda Zon Maritim Mersing bersama dua buah bot Pasukan Polis Marin Mersing ditugaskan ke lokasi dengan segara selepas aduan diterima oleh kru bot memancing yang berada berdekatan dengan pulau tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Khairul Nizam, dua bot beserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan 19 kru ditahan lalu diiringi masuk ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia, kata Khairul Nizam, secara tegas mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.
“Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan,” kata beliau lagi.
Kes tersebut, kata Khairul Nizam, akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.