Ceroboh Sabah komplot tekan Presiden Filipina

Astro Awani
Mac 6, 2013 11:07 MYT
Tindakan Jamalul Kiram III, waris Kesultanan Sulu yang mendakwa dirinya Sultan Sulu yang sah, mengirimkan kumpulan bersenjata menceroboh Sabah dilihat sebagai satu komplot untuk memberikan tekanan kepada Presiden Filipina, Benigno Aquino III.
Penganalisi politik serantau, Dr Farish Noor berkata, tindakan itu dari satu sisi dilihat telah menampakkan kegagalan kerajaan Filipina menangani isu dalamannya sendiri.
"Saya agak bersimpati dengan kerajaan Filipina kerana saya rasa kerajaan Filipina agak malu kerana (pencerobohan itu) memberi gambaran bahawa negara Filipina itu adalah sebuah negara yang kerajaannya tidak dapat mengawal warganegaranya sendiri sehingga mereka dapat keluar masuk menceroboh wilayah negara lain dan membawa senjata," katanya.
Dr. Farish berkata demikian semasa ditemubual dalam program Agenda Awani pada Selasa.
Jamalul Kiram III mendakwa tindakan pengikutnya masuk ke Lahad Datu bertujuan untuk menuntut pemilikan ke atas Sabah, wilayah yang pernah jadi sebahagian daripada Kesultanan Sulu.
Masalah antara waris Kesultanan Sulu dan Istana Presiden bertolak daripada sepucuk surat yang dikirimkan kepada Aquino beberapa hari sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden.
Surat itu bertanyakan pendirian pentadbiran Aquino mengenai isu tuntutan ke atas Sabah. Surat itu kemudiannya dikatakan hilang dan Aquino dipetik berkata, ia hilang kerana masalah birokrasi.
Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina bagaimanapun dalam satu kenyataan hari ini mengakui telah menemui surat berkenaan. Setiausaha Luar, Albert del Rosario mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan surat itu selama lebih dua tahun.
Menurut Dr. Farish, biarpun isu itu dilihat masalah dalaman Filipina namun ia kini jadi isu diplomatik kerana Malaysia telah terheret sama.
Pada masa sama, beliau melihat insiden yang bermula sejak 12 Februari lalu itu telah mencemarkan imej ASEAN sebagai rantau yang stabil. Ini kerana ia memberikan gambaran bahawa puak militan masih kuat di wilayah Selatan Filipina.
Katanya, apa yang menarik untuk dilihat sekarang ialah sejauh mana Malaysia dan Filipina dapat bekerjasama untuk "mententeramkan keadaan serta mengembalikan keadaan yang stabil dan normal" di wilayah itu.
Dalam pada itu, Dr. Farish juga melihat episod yang berlaku ini adalah kesan sampingan proses damai yang dicapai antara Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang dimeterai di Manila pada 15 Oktober tahun lalu.
Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro itu bakal membawa kepada penubuhan wilayah autonomi yang diberi nama Bangsamoro. Ia akan menggantikan Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) yang disifatkan oleh Aquino sebagai percubaan yang gagal.
#bangsamoro #Farish Noor #Filipina #Malaysia #MILF #operasi daulat #Sabah #Sulu
;