Ceroboh perairan Sandakan, enam nelayan Vietnam ditahan
Radhi Muslim
November 3, 2019 18:04 MYT
November 3, 2019 18:04 MYT
Walaupun sudah berpuluh kali kes tangkapan membabitkan nelayan Vietnam di negara ini dikesan dan dilaporkan, mereka masih tidak takut dan kini menjadikan perairan Sandakan sebagai sasaran.
Terbaru, dalam kejadian kira-kira jam 7.20 petang pada Sabtu, sekumpulan enam lelaki Vietnam dicekup ketika mengaut gamat di perairan Sungai Asam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata, suspek berumur 50 hingga 59 tahun itu beralamat di Cau Mau, Vietnam, dan semuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Ketika ditahan, sebanyak 400 kilogram gamat ditemui dalam kapal berkenaan dipercayai dikaut dari perairan negara kita.
"Semua suspek ditangkap lalu dibawa ke Markas PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
"Kapal, gamat dan semua peralatan mereka dianggarkan bernilai RM0.61 juta turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985.
#ceroboh perairan
#dokumen pengenalan diri
#mohamad pajeri ali
#nelayan vietnam
#pihak berkuasa
#polis marin
#tangkapan