Ceroboh Menara Merdeka 118: Saifuddin akan dapatkan laporan penuh
Bernama
Januari 5, 2023 20:36 MYT
Januari 5, 2023 20:36 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu mendapatkan laporan penuh berhubung tindakan dua warga Rusia yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur baru-baru ini sebelum berkongsi maklumat mengenainya.
"Pramatang untuk saya berikan sebarang jawapan... bagi ruang untuk saya dapatkan laporan penuh," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar mengenai pengurusan pekerja asing di sini hari ini.
Sebelum ini, tular gambar dan video individu terbabit dari puncak pencakar langit itu di laman sosial termasuk Twitter.
Seorang wanita warga Rusia yang terlibat dalam insiden itu juga dikatakan mendedahkan perbuatan menceroboh menara tersebut di laman sosial media.
Media hari ini melaporkan polis akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Imigresen mengenai keberadaan pasangan itu bagi mengenal pasti rekod keluar dan masuk mereka ke negara ini. - BERNAMA