Ceroboh Lahad Datu: Hukuman mati terhadap tujuh warga Filipina kekal

Bernama
Oktober 2, 2024 11:15 MYT
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan semakan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina, termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh kesemua tujuh individu berkenaan.
"Permohonan kesemua pemohon ditolak dan hukuman mati dikekalkan," kata Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Tujuh individu itu ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram; Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.
Dalam insiden percerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Feb dan 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan tersebut.
#Lahad Datu #Sultan Sulu #Jamalul Kiram #Tengku Maimun Tuan Mat
;