Ceroboh beri imej negatif keselamatan negara
Sinar Harian
Januari 6, 2023 12:00 MYT
Januari 6, 2023 12:00 MYT
SHAH ALAM: Tindakan dua warga Rusia yang menceroboh masuk Menara Merdeka 118 dan berjaya meloloskan diri daripada kawalan sekuriti bangunan itu memberi imej negatif terhadap isu keselamatan negara ini.
Menurut Pakar Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, jika tiada langkah drastik diambil bagi menangani isu sedemikian, tidak mustahil negara berdepan ancaman keselamatan.
Ujar beliau, Malaysia sebelum ini pernah digemparkan dengan kegiatan perisikan dari Israel.
“Kes pembunuhan Kim Jong Nam oleh perisikan dan kes seorang warga Palestin, Fadi Mohammed Al Batsh yang ditembak, dipercayai didalangi oleh agensi perisikan dari Israel, Mossad.
“Saya percaya, masih ramai agen perisikan luar yang sedang berada di dalam negara kita. Terdapat juga pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara luar menggunakan pintu rasmi untuk masuk ke dalam negara kita.
“Jadi inilah kelemahan tahap keselamatan negara yang berlaku pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
BACA: Ceroboh Menara Merdeka 118: Saifuddin akan dapatkan laporan penuh
BACA: Polis siasat pasangan Rusia panjat puncak Menara Merdeka 118
Pada Rabu, salah seorang daripada individu yang menceroboh Menara Merdeka 118 menceritakan tentang kronologi perbuatannya itu.
Dia yang dikenali sebagai Angela Nikolau turut berkongsi beberapa gambar dan video berdurasi tujuh saat mengenai perjalanan sewaktu memanjat menara tersebut.
BACA: Warga Rusia dedah pengalaman ceroboh Menara Merdeka 118
BACA: Polis siasat ketulenan video ceroboh Menara Merdeka 118
Dalam pada itu, Mohd Mizan menambah, kerajaan digesa untuk menyemak kembali akta atau undang-undang berkaitan imigresen dan juga keselamatan bangunan bagi penilaian semula.
“Sekiranya terdapat kelemahan dikesan, maka ia perlu dibincangkan kembali dan pihak berkuasa perlu giat untuk lakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya masalah ini dapat dibendung.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk laporkan mengenai warga Rusia yang lakukan kesalahan tersebut baru-baru ini, supaya mereka disekat daripada berbuat demikian di negara lain,” ujarnya. - Sinar Harian