Cermin gelap: Misi menyelamat mangsa kemalangan menjadi sukar - Penganalisis

Isabelle Leong
Mei 9, 2019 14:58 MYT
Mulai 8 Mei, cermin sisi dan cermin belakang bahagian penumpang kenderaan persendirian dibenarkan gelap sepenuhnya. - Gambar hiasan/Astro AWANI
Pemasangan cermin gelap tanpa had pada kenderaan menyumbang kepada peningkatan tahap kesukaran pihak penyelamat dalam misi menyelamat, sekiranya kenderaan tersebut terbabit dalam kemalangan.
Penganalisis jenayah dan keselamatan, Kamal Affendi Hashim berkata penggunaan cermin gelap akan menyebabkan cermin kereta menjadi lebih tebal sekaligus menyukarkan cermin tersebut daripada dipecahkan untuk kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap dalam kemalangan yang berlaku.
“Dengan penggunaan cermin gelap, ia adalah amat sukar untuk pihak penyelamat menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan kerana ketebalan itu akan memberi kesan kepada keanjalan dan kekuatan permukaan cermin.
“Apabila lapisan filem dilekatkan, sudah tentu cermin menjadi lebih tebal dan peralatan sedia ada seperti tukul biasa tidak dapat memecahkannya dalam operasi menyelamat.
“Untuk memecahkan cermin tersebut, peralatan sedia ada barangkali perlu dinaik taraf dan penyelamat perlu menggunakan peralatan lain,” kata Kamal ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Tambahnya, pemasangan cermin gelap tidak harus dikaitkan dengan punca berlakunya jenayah kerana kebanyakan penjenayah menggunakan motosikal.
Beliau juga berkata dalam menggubal sesuatu peraturan yang baharu, perbincangan harus diadakan dalam kalangan semua pihak pemegang taruh supaya peraturan atau akta tersebut dapat digubal secara holistik.
BACA: JPJ, Miros perlu keluar hasil kajian cermin gelap
“Dalam isu ini, semua pihak pemegang taruh perlu dipanggil untuk memberi pandangan mereka berhubung garis panduan, akta ataupun peraturan yang akan digubal supaya secara holistiknya, kita dapat menilai kedudukan semasa masalah tersebut.
“Ia penting untuk mendapat pandangan semua pihak supaya apabila terdapat perubahan yang hendak dilakukan, ia akan menjadi lengkap,” tambahnya.
Memetik laporan media sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata pihak polis tidak dipanggil bagi membincangkan peraturan baharu yang menetapkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan kenderaan adalah 70 peratus manakala bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu terikat pada 50 peratus.
Pihaknya menghormati peraturan baharu yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook namun berpendapat bahawa tugas polis dalam penguatkuasaan akan menjadi sukar.
Bermula 8 Mei, cermin sisi dan cermin belakang bahagian penumpang kenderaan persendirian dibenarkan gelap sepenuhnya.
#Anthony Loke Siew Fook #cermin #cermin gelap #jenayah #Kamal Affendi Hashim #kemalangan #misi menyelamat #penganalisis
;