Ceritalah ASEAN - 'Peperangan Budaya': Afiq dan Muna

Karim Raslan
Mei 11, 2017 10:37 MYT
Penulis bersama Afiq dan Muna, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tergolong dalam mereka yang mengutamakan tradisi agama Islam. - Foto Karim Raslan
MALAYSIA sedang pantas menjadi titik permulaan peperangan budaya global apabila pandangan-pandangan yang bertentangan tentang masyarakat kini saling bersaing untuk mendapatkan pengaruh.
Secara umumnya, ada dua paksi yang bertentangan: pertama, pandangan yang cenderung kepada Barat dan berasaskan kepada ‘common law’. Pandangan ini terbentuk kerana kedudukan Malaysia yang strategik di tengah-tengah laluan perdagangan yang paling sibuk di Asia, sejarahnya yang kaya dan kepelbagaian masyarakat yang mendiaminya.
Pandangan seterusnya adalah pendekatan murni yang mengutamakan tradisi agama Islam.
Sebagai seorang penulis dan bekas peguam, memang jelas saya tergolong dalam kategori yang pertama.
Walau bagaimanapun, tidak boleh dinafikan bahawa kelompok yang kedua itu kini sedang makin berpengaruh.
Sudah bertahun-tahun saya mengelak daripada berinteraksi bersama mereka yang berada dalam “kelompok lain”, hanya kerana perbezaan pandangan itu sukar ditangani.
Namun, atas rasa mahu lebih memahami kelompok yang konservatif ini, saya bertemu dengan sepasang pengantin baru Melayu yang menawan, Afiq Awang dan Muna ‘Adila Che Rime. Kedua-dua mereka berumur dalam lingkungan pertengahan dua puluhan dan merupakan lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Dengan pakaian longgar dan sederhana (Muna memakai tudung labuh), mereka kelihatan seperti umat Islam yang soleh.
Walaupun cara mereka berpakaian membezakan mereka dengan golongan muda lain, mereka berkongsi cabaran-cabaran yang sama: kos sara hidup yang tinggi dan harga rumah yang meningkat.
Dari segi peribadi, saya tertarik bagaimana Afiq menggalakkan Muna, seorang peguam pelatih, untuk menyuarakan pandangannya.
Malah, setelah kami mula berbual, saya terpesona dengan senyuman manisnya dan caranya yang tenang tetapi berwibawa.
Pendidikan Muna dalam undang-undang, menjadikan dia lantang berterus-terang. Dia yang sedang menjalani latihan dalam kamar, mempelajari sistem perundangan sivil dan syariah.
Hujah-hujah Afiq, seorang pegawai pematuhan syariah di sebuah syarikat farmasi, sebaliknya tidak begitu.
Muna sangat bersemangat tentang rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang dikemukakan oleh parti Islam PAS dengan sokongan tersirat Kerajaan Persekutuan.
Walaupun mungkin sukar untuk difahami dan tidak relevan, rang undang-undang tersebut telah menarik banyak kritikan.
Kenapa?
Pada dasarnya, rang undang-undang itu bertujuan untuk meningkatkan kuasa hukuman mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia.
Bagi sebahagian besar rakyat bukan Islam di Malaysia dan sebahagian masyarakat Melayu yang lebih progresif, langkah ini dilihat sebagai satu percubaan untuk memperkenalkan undang-undang hudud.
Tidak mengejutkan apabila Muna ada pandangan yang berbeza dalam isu ini. Bagi beliau, kedua-dua sistem perundangan itu harus sama rata.
Walau bagaimanapun, jelas bahawa sistem syariah mempunyai kuasa yang lebih kecil dan beliau menganggap ini sebagai sesuatu yang tidak adil.
Muna bercakap tentang bagaimana sistem perundangan syariah sudah wujud “sebelum” kedatangan orang-orang Eropah.
Bagi Muna, kedudukan sistem perundangan syariah yang rendah ini membuatkannya berasa seolah-olah “... identiti kami sebagai sebuah masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai-nilai dan undang-undang Islam sedang terhakis secara perlahan-lahan.”
Afiq pula bimbang dengan kegagalan untuk menangani isu-isu seperti hubungan seks luar nikah dan gejala minuman keras.
Beliau menjelaskan: “Islam bukan sekadar hubungan peribadi antara manusia dan Allah, malah juga untuk mengawal hubungan-hubungan manusia sesama sendiri. Ada perbuatan tertentu yang berdosa dalam Islam dan saya percaya hukuman-hukuman tertentu harus dijatuhkan kepada mereka yang bersalah... Walaupun perbuatan-perbuatan ini hanya melibatkan mereka dan Allah, saya percaya undang-undang harus diperkenalkan untuk menangani masalah-masalah itu.”
Tidak dapat dielakkan, kami kemudiannya menyentuh tentang politik negara dan bagaimana kontroversi tersebut akan mempengaruhi pilihan raya umum yang akan datang, yang ke-14 sejak Merdeka. Oleh sebab mereka berdua adalah ahli PAS, perbincangan jadi agak hangat.
Ketika saya mempersoalkan kebijaksanaan PAS dalam memperkenalkan rang undang-undang tersebut secara agresif dan kesan-kesannya kepada peluang PAS untuk menang dalam pilihan raya, Muna menyampuk: “Pak Karim, PAS bukan sekadar parti politik. Kami juga sebuah gerakan bertujuan untuk mengubah masyarakat. Ada dua elemen yang maju seiring dengan politik: tarbiyyah dan dakwah. Matlamat kami ialah untuk mewujudkan masyarakat Islam yang merangkumi prinsip-prinsip Al-Quran.”
Muna dengan tegas menambah: “Jangan lupa bahawa kebanyakan ahli-ahli UMNO berfikiran selari dengan kami dalam isu agama Islam dan kepentingan meningkatkan iman. Pemimpin mereka itu hal lain pula."
Dengan tegas dan berterus terang, Muna membantah semua soalan saya yang berikutnya pada setiap langkah dan menyedarkan saya tentang betapa besarnya peperangan budaya ini.
Walaupun saya komited mempertahankan sistem common law sedia ada yang saya rasa mempunyai keupayaan unik untuk mengimbangi hak-hak dan kepentingan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, saya bimbang mereka yang berdepan dengan orang seperti Muna dan Afiq tidak ada semangat dan dorongan seperti saya.
Tidak pernah rasanya sebegini sepi menjadi seorang yang sekular dan liberal.
#Ceritalah ASEAN #Karim Raslan #liberal #Malaysia #Rang Undang-Undang 355 #sekular #undang-undang Islam
;