Cerita Banjir: Dua Nasib Berbeza
Israr Khalid
Disember 22, 2015 10:37 MYT
Disember 22, 2015 10:37 MYT
Memiliki sebuah rumah untuk didiami bersama keluarga tersayang sememangnya menjadi impian semua orang. Sama ada dengan membeli atau menyewa, ia cukup sekadar tempat yang selesa untuk dihuni.
Namun impian itu seakan mustahil untuk digapai oleh Rozita Ramli.
Ibu kepada lima orang anak berusia 36 tahun itu berlindung di pusat penempatan sementara Kem PLKN Etnobotani Gua Musang sejak Mac 2015. Dia merupakan antara 33 keluarga yang gagal mendapat bantuan Rumah Kekal Baharu (RKB).
"Tak tahu apa sebabnya. Saya pun nak juga tahu apa sebabnya tak layak. Katanya tak cukup kriteria sebab tak musnah sepenuhnya. Padahal rumah habis hanyut, tak boleh duduk dah.
Rozita menetap di Kampung Batu 6 Renok di atas tanah rizab sungai. Dia lahir dan dibesarkan di kampung tersebut. Menurut ceritanya, banjir 2014 menghanyutkan seluruh rumahnya.
"Jumpa tok penghulu, katanya nama kami tercicir. Lepas itu dia suruh jumpa pejabat tanah. Jumpa pejabat tanah, dia kata suruh jumpa tok penghulu. Habis macam mana?
"YB pula ada beritahu dia akan datang nak jumpa kami pada 8 November. Sampai hari ini dah 8 November dia tak datang lagi," rungutnya sambil mendukung anak bongsunya yang baru berusia lima bulan.
Ketika banjir, Rozita sedang mengandungkan anak tersebut. Dengan perut yang membulat membawa kandungan berusia empat bulan, dia bersama anak-anak yang lain berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk berlindung. Akhir sekali mereka terpaksa bermalam di atas sebuah bukit berhampiran rumahnya selama tiga hari sehingga air surut.
Kemudian, dia mendengar perkhabaran bahawa Sekolah Menengah Tengku Indera Petra yang tidak jauh dari situ dibuka sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir. Dia pun perlahan-lahan berjalan kaki untuk ke sana yang jaraknya hampir 5 kilometer.
Ketika dia dan anak-anak berjalan menyusuri jalan raya, sebuah kereta pacuan empat roda dari salah satu gerakan sukarela yang datang ke Kelantan untuk bantuan kemanusiaan pasca banjir, berhenti dan menumpangkan mereka hingga ke sekolah tersebut. Dia dan anak-anak berteduh selama dua minggu di sekolah sebelum berpindah ke khemah penempatan sementara di Bandar Utama Gua Musang pada Januari.
"Anak dalam kandungan semakin membesar dan keadaan di khemah pula kurang selesa. Bahang tengahari, malam sejuk. Jadi saya dan suami mengambil keputusan untuk berpindah ke sini pada Mac," katanya.
Ada 127 keluarga yang masih menetap di kem tersebut sejak ia dijadikan penempatan sementara mangsa banjir di Gua Musang. Setiap blok asrama dihuni oleh sekurang-kurangnya lima buah keluarga.
Sukar untuk digambarkan rasanya, tetapi keadaan di dalam bilik asrama memang menyedihkan. Ada bilik yang dipasang dinding kayu sementara untuk memisahkan antara keluarga, ada pula yang hanya dipisahkan dengan tirai. Satu keluarga hanya diberi dua buah katil. Bayangkan keluarga yang ahlinya ramai, pasti ada yang akan tidur di lantai. Dan mereka melalui hari-hari begitu sejak 11 bulan yang lepas.
Namun, makan dan minum mereka setiap hari disediakan oleh pihak kem -- tiga kali waktu makan; pagi, tengahari dan malam. Elektrik dan air juga ditanggung penuh oleh pengurusan kem. Sedikit sebanyak ini meringankan bebanan yang mereka tanggung.
Suasana di sini begitu sunyi, walaupun pada waktu siang. Hanya hilai tawa kanak-kanak kedengaran bermain di persekitaran blok kediaman yang terletak di atas bukit. Pohon rendang, kotak, botol kosong, batang kayu dan apa sahaja benda dijadikan alat permainan.
Sementara golongan dewasa pula sebahagian besarnya mengisi hari dengan berbual sesama mereka. Tidak kurang juga yang menghabiskan masa dengan berbaring dan tidur. Ada juga yang memiliki televisyen. Bagi yang berkenderaan, sesekali mereka akan keluar ke pekan untuk menghilangkan kebosanan.
Oleh kerana tidak layak menerima bantuan RKB, Rozita berserta 32 lagi keluarga diminta untuk berpindah keluar dari kem dan menguruskan sendiri tempat penginapan seterusnya. Tempoh diberi sehingga 25 November 2015.
"Nak ke mana kami lepas ini? Suami saya bekerja sebagai tukang kebun di kuarters guru Taman Sri Wangi, gajinya RM700 sahaja. Saya pula tak kerja, nak jaga anak empat orang. Mereka nak sekolah lagi.
"Kepada siapa harus kami mengadu nasib? Kami tak minta rumah besar, tapi cukuplah ada rumah sendiri untuk kami sekeluarga duduk," keluh Rozita. Pada wajahnya jelas terlihat kerunsingan, serabut buntu tentang nasib keluarganya dan masa depan anak-anak yang sedang membesar.
Berbeza dengan nasib Rozita, Mat Taha Husin pula sedang menghitung hari menanti rumah barunya siap.
Dia bernasib baik kerana layak menerima bantuan RKB. Rumahnya di sebuah perkampungan kecil di tebing sungai Ketil tidak jauh dari bandar baru Gua Musang, juga musnah dalam musibah tahun lepas. Rumahnya seperti rumah Rozita, dibina atas tanah rizab sungai.
Kebiasaannya, rumah-rumah yang didirikan di atas tanah rizab adalah atas risiko sendiri dan pihak pejabat tanah tidak bertanggungjawab atas apa jua kejadian. Bagaimanapun, kebanyakan mereka terpaksa berbuat demikian kerana itulah satu-satunya pilihan bagi mereka yang tidak mampu menyewa rumah apatah lagi membeli tanah sendiri.
Sejak itu, hampir sebelas bulan dia dan anak perempuannya berusia 15 tahun yang masih bersekolah menumpang teduh di kem yang terletak bersebelahan Jalan Merapoh-Gua Musang itu.
"Saya ambil inisiatif sendiri, buat permohonan kepada penghulu dan pegawai daerah. Saya fikir kalau tidak ada bukti kukuh susah untuk mereka meluluskan permohonan, jadi saya sertakan gambar rumah saya yang musnah.
"Kemudian pada Oktober ada pegawai dari Kuala Lumpur datang ke sini (kem), saya rasa dari pihak Majlis Keselamatan Negara. Dia maklumkan senarai nama yang layak dan nama saya termasuk," ceritanya.
Tapak perumahan baru untuk mereka yang tersenarai khabarnya terletak di kawasan Tanah Putih, tidak jauh dari situ. Bagaimanapun, rumah yang dijanjikan itu masih lagi tidak dapat dipastikan tarikh siapnya. Menurut Mat Taha, dengar-dengar ia akan siap dalam bulan Mac tahun depan menurut kata pegawai yang hadir itu.
Selain itu, dia turut mendapat berita bahawa mereka perlu mengosongkan kawasan kem pada awal Disember untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan sebelum kemasukan pelatih PLKN pada akhir bulan yang sama.
Usianya kini mencecah 65 tahun. Isterinya pula telah lama meninggal dunia. Dia masih mempunyai seorang anak yang perlu ditanggung persekolahannya. Mujur satu-satunya cahaya matanya itu menetap di asrama sekolah.
Dahulunya Mat Taha bekerja sebagai pembawa lori muatan. Tetapi kini dia sudah tidak lagi bekerja ekoran kemalangan yang menyebabkan tulang selangkanya patah. Kehidupannya sekarang disara wang bantuan JabatanKebajikan Masyarakat (JKM).
"Itulah yang saya dok fikirkan, nak duduk mana lepas ni. Rumah sewa sekarang mahal, sekitar RM300 sebulan, deposit lagi. Saya tak kerja dah, nak dapat duit macam mana.
"Tengoklah. Kalau terpaksa duduk di khemah, kita duduk khemah. Nak buat macam mana, dah nasib."