CEO Proton: Kerajaan tidak campur tangan pelantikan Li Chunrong - Mustapa

Vivi Sumanti
Oktober 1, 2017 12:18 MYT
Pengalaman luas Dr Li Chunrong dalam industri automotif lebih 30 tahun selain berpengalaman bekerja dengan jenama utama antarabangsa diyakini mampu mempercepatkan pelan pemulihan Proton. - Foto: Automotive News
Kerajaan tidak campur tangan dalam pemilihan dan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), Dr Li Chungrong.
Sebaliknya, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pelantikan dan pemilihan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah DRB Hicom Berhad
“CEO yang dilantik ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang automotif lebih 30 tahun dan ini pilihan syarikat DRB dan mereka nak dapatkan balik modal mereka dan perlu diuruskan oleh golongan profesional yang baik.
“Perniagaan semakin (bersifat) global. Semua syarikat ternama mempunyai perniagaan seluruh dunia dan hasrat DRB Hicom hendak menjadi (pemain) serantau.
“Ini keputusan perniagaan. Kita (kerajaan) tak campur tangan. Yang penting harus diuruskan oleh profesional terbaik dan pihak syarikat telah buat pertimbangan sewajarnya,” ujar Mustapa.
Katanya, pelantikan dan pemilihan CEO baharu itu merupakan sebahagian rancangan perniagaan Proton dan kerajaan sudah membantu memberikan pinjaman kerana industri ini penting untuk negara.
Tambah Mohamad, tidak timbul soal bukan Bumiputra menerajui syarikat multinasional kerana ia bukan perkara baharu bagi rakyat asing menerajui syarikat tempatan berkepentingan dengan tujuan untuk memajukan perniagaan.
Mustapa menjelaskan, isu yang ditimbulkan pihak tertentu berhubung pelantikan itu sepatutnya tidak perlu diperbesarkan kerana ia melibatkan keputusan oleh pihak terlibat tanpa campur tangan kerajaan.
Jelasnya, pengalaman luas Dr Li Chunrong dalam industri automotif lebih 30 tahun selain berpengalaman bekerja dengan jenama utama antarabangsa diyakini mampu mempercepatkan pelan pemulihan Proton Holdings Bhd (Proton), sekali gus melonjakkan industri automotif negara ke peringkat global dalam tempoh lima tahun.
Pelantikan Li sebagai CEO yang berkuat kuasa 1 Oktober mampu meletakkan produk keluaran Proton ke tahap global, setanding jenama utama antarabangsa.
Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat melibatkan pelbagai agensi persekutuan di sini pagi tadi.
#CEO #DRB Hicom #kerajaan #Li Chunrong #Mustapa Mohamed #Proton
;