CEO PNB peneraju baharu KWSP?

Agensi
Januari 25, 2024 22:55 MYT
Ahmad Zulqarnain merupakan graduan lulusan Universiti Harvard dilantik menerajui PNB sejak Julai 2020. -Gambar Fail/Facebook
KUALA LUMPUR : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka diterajui oleh Ketua Eksekutif Kumpulan (CEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn.
Memetik laporan Reuters, berita mengenai kemungkinan pelantikan itu adalah seperti yang dinyatakan tiga individu rapat tidak dinamakan berhubung perkara terbabit.
Pelantikan itu nanti sekali gus akan mengisi kekosongan CEO sebelum ini iaitu Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lalu.
Pelantikan Ahmad Zulqarnain dijangka diumumkan pada akhir bulan ini, tambah dua daripada sumber berkenaan, memetik Reuters.
Dalam satu e-mel respon kepada pertanyaan Reuters pada Rabu, seorang jurucakap KWSP berkata dana persaraan itu tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perubahan kepimpinan kumpulan itu.
Pejabat Perdana Menteri dan PNB juga tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan bagi mendapatkan kenyataan.
Sumber berkenaan enggan dikenali dan tidak diberikan kuasa untuk bercakap secara rasmi kepada media buat masa sekarang.
Ahmad Zulqarnain merupakan graduan lulusan Universiti Harvard dilantik menerajui PNB sejak Julai 2020 yang mana beliau menguruskan aset PNB pada jumlah RM343.1 bilion setakat 30 November 2022.
#KWSP #akhir bulan #rombakan kabinet #Universiti Harvard
;