CEO Microsoft Satya Nadella dijadual lawat Malaysia pada 2 Mei

Bernama
April 25, 2024 10:08 MYT
Lawatan ke Malaysia itu merupakan sebahagian daripada jelajah Asia Tenggara beliau. -Gambar fail/Amanz
KUALA LUMPUR: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft Satya Nadella dijadual berada di Malaysia pada 2 Mei bagi menghadiri acara Microsoft.
Lawatan ke Malaysia itu merupakan sebahagian daripada jelajah Asia Tenggara beliau.
Satya dijadual turut melawat Jakarta pada 30 April dan Bangkok pada 1 Mei bagi menghadiri acara Microsoft Build: AI Day.
Terdahulu, lawatan asal Satya ke Malaysia yang dijadualkan pada 20 Mac, 2024, serta beberapa negara lain di rantau ini ditangguhkan berikutan keadaan luar jangka.
Jelajah Microsoft Build: AI Day ialah acara sehari secara percuma yang direka untuk membantu pembangun meneroka peluang baharu dengan kecerdasan buatan (AI) serta memajukan kemahiran mereka dengan AI dan Microsoft Azure.
Acara yang bersifat teknikal itu bersesuaian untuk jurutera perisian, arkitek, peneraju teknologi, saintis data, pembangun dan ahli teknologi yang mempunyai kemahiran sofistikated.
-- BERNAMA
#Satya Nadella #CEO Microsoft #lawat Malaysia #Microsoft Build AI Day