CEO MDEC tamat perkhidmatan 31 Ogos

Astro Awani
Ogos 29, 2024 10:15 MYT
Mahadhir akan menamatkan perkhidmatan beliau pada 31 Ogos 2024 selepas tiga tahun menerajui MDEC. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ts. Mahadhir Aziz akan menamatkan perkhidmatan beliau pada 31 Ogos ini.
MDEC dalam satu kenyataan memaklumkan, Mahadhir akan beralih kepada cabaran dan peluang baharu yang mana penamatan perkhidmatan beliau akan membuka jalan transformasi masa depan di MDEC.
Sejak memegang jawatan pada September 2021, Mahadhir memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan MDEC sebagai peneraju ekosistem digital Malaysia dan memperluas jangkauannya ke pasaran baharu yang sedang berkembang.
Di bawah kepimpinan beliau, MDEC mencapai kejayaan penting, termasuk memperoleh lebih RM170 bilion dalam pelaburan digital dan mencipta lebih daripada 85,000 pekerjaan teknologi.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam mengubah inisiatif MSC menjadi Malaysia Digital (MD), memacu pelaburan digital strategik, dan melancarkan program nasional utama seperti visa digital nomad.
Tempoh perkhidmatannya menyaksikan MDEC melepasi sasaran utama, termasuk pengambilan e-Dagang oleh lebih daripada 1.5 juta PKS dan merekodkan pelaburan digital sebanyak RM144 bilion.
Sementara itu, MDEC tetap fokus dalam mengekalkan hala tuju strategiknya manakala pihak pengurusan telah ditubuhkan untuk memantau tanggungjawab CEO semasa tempoh interim sehingga CEO baharu dilantik.
#CEO #MDEC #tamat perkhidmatan #Datuk Ts Mahadhir Aziz
;