CEO koperasi bergelar Datuk ditahan kes suapan RM250,000

Astro Awani
Julai 6, 2023 10:50 MYT
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah koperasi bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima suapan lebih RM250,000.
Sumber berkata, suspek disyaki menerima suapan itu daripada pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman.
Katanya, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Kuala Lumpur jam 5 petang Rabu.
"Suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan dengan menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman tersebut.
"Ia dipercayai sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman bagi sebuah agensi penguat kuasa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu," katanya pada Khamis.
Beliau berkata, kad ATM tersebut dipercayai telah ditemui dalam kawalan suspek, selain suspek mengakui mengeluarkan wang beberapa kali menggunakan kad berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
#SPRM #PRU15 #CEO koperasi #suapan