CEO Batu terlibat kemalangan, terima lebih 20 jahitan

Sinar Harian
Julai 14, 2024 13:24 MYT
CEO Batu menerima lebih 20 jahitan selepas terlibat dalam kemalangan di Sungai Petani. - Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Pempengaruh dikenali sebagai CEO Batu dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di susur keluar Sungai Petani di sini pada awal pagi Sabtu.
Berita berkenaan dikongsikan di platform X menerusi akaun 'Sungai Petani' memaparkan keadaan pempengaruh itu ketika menerima rawatan di hospital selepas kemalangan itu.
Menerusi perkongsian tersebut, lelaki itu terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Alor Setar.
"CEO Batu kemalangan apabila ada sebuah kenderaan secara tiba-tiba menukar haluan dan melanggarnya.
"Beliau dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.Cedera di bahagian tangan, patah gigi hadapan dan menerima lebih 20 jahitan di bahagian kepala," menurut perkongsian itu.
Bagaimanapun, keadaan CEO Batu dilaporkan stabil dan sudah mampu kembali berjalan. - Sinar Harian
#CEO Batu #kemalangan jalan raya #pempengaruh media sosial #Sungai Petani
;