CENTHRA tuntut ICC keluar amaran tegas terhadap kekejaman Israel

Zikry Halim
Oktober 12, 2023 11:05 MYT
CENTHRA berpendapat, ICC perlu mengeluarkan amaran keras terhadap Israel dan menegaskan bahawa, walaupun ia berhak mempertahankan diri, hal berkaitan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang tidak boleh ditolak ansur. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) kesal tiada tindakan diambil oleh badan-badan antarabangsa bagi menamatkan kekejaman berterusan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin
Pengerusinya Azril Mohd Amin meluahkan kekecewaan, terutamanya terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang didakwa kurang tegas menamatkan keganasan yang semakin memuncak di Palestin.
“Pejabat pendakwa raya ICC telah mengesahkan bahawa mandatnya terpakai ke atas pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin ketika ini.
“Malangnya, terdapat terlalu sedikit kemajuan walaupun siasatan berterusan dijalankan terhadap keadaan di Palestin, berkaitan jenayah perang yang komited dilakukan sejak 13 Jun 2014,” menurutnya.
Katanya, Palestin menyertai ICC sejak 2015 lagi dan sepatutnya badan antarabangsa berkenaan diberi kuasa sepenuhnya untuk bertindak dalam situasi ini terhadap 123 negara anggota dan wilayah di bawahnya.
Azril berkata, ICC perlu mengeluarkan amaran keras terhadap Israel dan menegaskan bahawa, walaupun Israel berhak mempertahankan diri, hal berkaitan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang tidak boleh ditolak ansur.
“Tindakan pantas dan tegas mesti diambil untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, seperti yang kita lihat dalam konteks konflik Ukraine dengan Rusia.
"Bagi menekankan solidaritinya dengan mangsa yang terkesan akibat pelanggaran terhadap Perjanjian Rom, ICC perlu menyegerakan lawatan ke Gaza oleh Ketua Pendakwarayanya, Karim Khan KC, seperti yang dilakukan di Ukraine,” tambahnya.
Azril berkata, lawatan itu akan menjadi simbol sokongan dan komitmen ICC terhadap keadilan dan kebertanggungjawaban, yang boleh membawa kepada berakhirnya skala peperangan antara Palestin dan Israel.
CENTHRA dalam pada itu turut menyatakan solidariti yang mendalam terhadap rakyat Palestin yang sedang melalui tempoh derita dan sukar ketika ini.
"Penderitaan mereka memerlukan perhatian dan tindakan global untuk perlindungan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa," katanya.
#Centhra #ICC #Perang Palestin-Israel #konflik Rusia-Ukraine
;