CENTHRA kutuk kegagalan Sidang Konvensyen Geneva Keempat, anggap satu pengkhianatan

Azyyati Ahmad
Mac 9, 2025 11:45 MYT
CENTHRA mengecam keputusan untuk tidak mengadakan persidangan mengenai pelaksanaan Konvensyen Geneva Keempat di wilayah Palestin yang Ddiduduki dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang menghalalkan jenayah genosid.
KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mengecam keputusan untuk tidak mengadakan persidangan mengenai pelaksanaan Konvensyen Geneva Keempat di wilayah Palestin yang Ddiduduki dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang menghalalkan jenayah genosid.
Menurut CENTHRA, keputusan Switzerland untuk tidak menganjurkan sidang tersebut atas alasan "ketiadaan konsensus" dalam kalangan Negara Pihak Berkontrak merupakan satu bentuk kegagalan moral serta mencemarkan integriti undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Konvensyen Geneva menetapkan kewajipan undang-undang, bukan komitmen sukarela yang tertakluk kepada kepentingan politik.
"Keengganan untuk bertindak bukan sahaja membiarkan pelanggaran undang-undang antarabangsa berterusan, tetapi juga menjadikan mereka bersubahat," tegas CENTHRA dalam kenyataan yang dikeluarkan.
CENTHRA turut menegaskan, dalam tempoh 17 bulan terakhir, situasi di Gaza semakin memburuk dengan kemusnahan besar-besaran yang mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak, pekerja media, dan kakitangan perubatan.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini telah mendapati terdapat kes yang munasabah bagi jenayah genosid di wilayah itu, namun negara-negara berkenaan masih enggan bertindak.
"Apakah nyawa rakyat Palestin dianggap kurang bernilai? Konvensyen Geneva diwujudkan untuk melindungi orang awam, namun hari ini ia seolah-olah diketepikan apabila membabitkan kezaliman terhadap rakyat Palestin," tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, CENTHRA menggesa kerajaan Malaysia untuk memainkan peranan lebih aktif dalam mendesak sidang Konvensyen Geneva Keempat diadakan segera.
Malaysia, sebagai negara yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin, disaran mengetuai usaha diplomatik melalui ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Keadilan tidak boleh sekadar menjadi retorik kosong. Dunia akan mengingati siapa yang berdiam diri dalam menghadapi kezaliman ini," tegas CENTHRA.
Dalam masa sama, CENTHRA menyeru masyarakat sivil, pakar undang-undang serta negara-negara yang berpegang pada prinsip keadilan untuk bersatu menuntut tindakan tegas bagi memastikan akauntabiliti serta keadilan ditegakkan.
#Palestin #pertubuhan kerjasama islam #Centhra #Konvensyen Geneva Keempat
;